Kereta terbabas: Cucu maut, nenek patah tangan - Utusan Malaysia

Kereta terbabas: Cucu maut, nenek patah tangan

KEADAAN kereta jenis Perodua Kancil yang remuk selepas terbabas dalam nahas di Jalan Krubong, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pelajar perempuan darjah satu Sekolah Kebangsaan (SK) Cheng maut ketika dalam perjalanan ke sekolah itu di Jalan Krubong di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu, mangsa, Nurul Qalisha Abdul Rahim, 7, yang lengkap berpakaian sekolah maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Kancil dinaiki mangsa hilang kawalan dan terbabas.

“Nahas berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke sekolah bersama-sama nenek berusia 58 tahun, manakala kereta dipandu bapa saudaranya berusia 29 tahun.

“Setiba di lokasi kereta dinaiki mereka terbabas sehingga masuk ke laluan bertentangan lalu dirempuh sebuah lori dari arah belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, akibat kemalangan itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala neneknya pula patah tangan kanan.

Tambah Amran, bapa saudara mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, semakan menerusi rakaman kamera pemuka kereta diperolehi mendapati, kemalangan berlaku ketika cuaca hujan lebat dan keadaan jalan pula berselekoh.

“Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan permukaan jalan licin. Rempuhan di bahagian belakang juga telah mengakibatkan kanak-kanak berkenaan tersepit sebelum dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN