ALOR GAJAH: Kementerian Sumber Manusia tidak bercadang membuka institut latihan perindustrian (ILP) yang baharu, walaupun kerajaan bakal mengumumkan Malaysia akan bergerak ke arah sebuah negara industri.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, buat masa ini tiada keperluan untuk penambahan ILP memandangkan terdapat 10 lagi kementerian yang mempunyai institusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) hampir serupa.
Justeru, pihaknya akan mengguna pakai sepenuhnya 32 ILP di seluruh negara untuk memberi tumpuan kepada sistem pembelajaran dan pendidikan TVET bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir untuk memenuhi permintaan pasaran.
“Buat masa ini kita akan penuhkan dahulu kursus-kursus yang ditawarkan di 32 ILP sedia ada di seluruh negara memandangkan selain TVET di bawah Kementerian Sumber Manusia, kita ada lagi 10 institusi TVET di bawah kementerian yang lain.
“Kita nak kenal pasti semua ILP ini untuk kita gunakan sepenuhnya dalam sistem pembelajaran dan pendidikan TVET. Kalau kita tambah benda yang ada tetapi kita tidak guna penuh, itu namanya satu pembaziran.
“Justeru, kita kena ada satu badan iaitu badan yang membuat satu penyelarasan, yang mana badan ini akan memberi pandangan mengenai TVET yang ada dalam negara kita termasuk di bawah Kementerian Sumber Manusia dan 10 kementerian lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Ke-25 Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di ILP Selandar dekat sini, semalam.
Majlis disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Mengulas lanjut, Awang berkata, menjelang 2030, kerajaan menyasarkan peningkatan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dapat dilahirkan dalam sektor ekonomi.
Menurutnya, TVET dilihat sebagai medium yang dapat membantu mencapai sasaran tersebut bagi memenuhi permintaan yang tinggi daripada pihak industri.
“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 mengiktiraf TVET sebagai salah satu pemboleh daya yang menyumbang ke arah pembentukan sebuah negara membangun, makmur, inklusif dan mampan,” ujarnya. – UTUSAN