Kerajaan peruntuk RM21.9 juta bina 47 tabika, taska

Kerajaan peruntuk RM21.9 juta bina 47 tabika, taska

ABDUL RAHMAN Mohamad (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Terbaik Keseluruhan kepada Nurul Izzah Nasser (tengah) pada Majlis Penyampaian SPAK Siri 1 2022 di Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM21.9 juta kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi membina 47 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pembinaan tersebut membabitkan 42 tabika dan lima taska di seluruh negara kecuali Pahang dan Pulau Pinang.

Menurut beliau, pertambahan itu bagi menampung permintaan yang sangat tinggi setiap tahun khususnya di kawasan pinggir bandar dan bandar.

“KPLB memahami hasrat Keluarga Malaysia yang mahukan tabika dan taska diwujudkan dengan lebih banyak. Pembinaan premis ini dapat memastikan kanak-kanak berusia seawal dua hingga enam tahun mendapat pendidikan awal yang berkualiti menerusi perkhidmatan yang disediakan oleh Kemas.

“Kemudahan ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun. Pelaksanaan projek berjalan dengan baik dan kontraktor juga sedang dilantik,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sijil Kursus Pendidikan Awal Kanak-kanak (SPAK) di sini hari ini.

Terdahulu, Abdul Rahman menyampaikan sijil kepada 349 pelatih dari institut dan pusat latihan Kemas di Melaka, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang serta Terengganu yang telah menamatkan tempoh latihan selama tiga bulan.

Abdul Rahman memberitahu, pihaknya akan menambah bilangan tenaga pengajar terlatih susulan pertambahan bilangan kelas tabika dan taska.

Katanya, sejak 2009 hingga kini, seramai 7,043 pendidik masyarakat Tabika dan Taska Kemas telah mengikuti kursus Sijil SPAK.

“Pendidik ini telah diberikan segala ilmu berkaitan pendidikan awal kanak-kanak selama menjalani latihan tiga bulan. Kita yakin dan percaya bakal pendidik masyarakat ini mampu untuk mengendalikan pengajaran dan pembelajaran dengan baik setelah mereka ditempatkan di lokasi yang ditetapkan untuk mendidik anak-anak.

“Kita mahu dengan adanya premis dan pendidik masyarakat yang berkualiti akan melahirkan generasi masa depan yang berkualiti serta dapat mengekalkan pencapaian terbaik yang diterima oleh pihak Kemas,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN