IPOH: Kerajaan negeri menyerahkan kepada SKS Airways Sdn. Bhd. (SKS Airways) yang menawarkan perkhidmatan penerbangan membawa pelancong dari Subang, Selangor ke Pangkor untuk membuat keputusan berhubung masalah kekurangan penumpang ke pulau itu yang dialami ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, masalah itu menyebabkan syarikat terpaksa menangguhkan perkhidmatan membawa pelancong ke pangkor melalui jalan udara.
Menurutnya, ini disebabkan pelancong ke Pangkor lebih memilih laluan darat berbanding udara.
“Penangguhan perkhidmatan syarikat penerbangan oleh syarikat SKS Airways sementara waktu sahaja berikutan orang ramai lebih cenderung memilih laluan darat berbanding udara.
“Penerbangan kurang mendapat sambutan, namun kehadiran pengunjung ke Pangkor tetap mencatatkan jumlah yang memberangsangkan.
“Bukan sebab tiada pelancong berkunjung ke Pangkor, jumlah pelancong ke Pangkor tetap meningkat tetapi kebanyakannya lebih memilih laluan darat berbanding udara.
“Rasanya jarak perjalanan darat dari Kuala Lumpur ke Pangkor agak dekat, jadi pelancong mungkin lebih suka guna lebuh raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program sesi perbincangan bertajuk ‘Ke Arah Pelancongan Selamat Negeri Perak’ dan pelancaran Unit Pelancong Perak yang disempurnakan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid di sini hari ini.
Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri telah dimaklumkan perkhidmatan syarikat penerbangan itu mula ditangguhkan sejak 29 Mei lalu termasuk kepada Tourism Perak.
Beliau berkata, kerajaan negeri berdukacita dengan keputusan syarikat tersebut tetapi harus menghormatinya kerana ia berkaitan dengan perniagaan.
“Terpulang kepada pihak syarikat untuk membuat keputusan yang tepat untuk syarikat mereka, namun kerajaan negeri memohon agar syarikat itu memulakan perkhidmatan semula terutamanya pada musim puncak orang ramai melancong.
“Kami perlukan mereka kembali terutama pada musim kemuncak sama ada secara berkala atau berjadual untuk memberi perkhidmatan semula kepada Pangkor,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan perkhidmatan penerbangan dari Subang ke Pulau Pangkor tidak lagi ditawarkan kepada orang ramai dipercayai kerana kurang mendapat sambutan.
Pemeriksaan di laman web rasmi dan Facebook syarikat SKS Airways yang menawarkan perkhidmatan itu sebelum ini, mendapati penerbangan ke Pulau Pangkor tidak lagi ditawarkan sebaliknya hanya menawarkan penerbangan ke Pulau Tioman, Pahang dan Pulau Redang, Terengganu.
Mengulas perkara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mahu syarikat itu mempergiatkan promosi untuk membawa pelancong ke pulau itu.
Menurutnya, ia bagi mengatasi masalah kekurangan pelancong yang datang ke pulau itu melalui udara, menyebabkan operasi penerbangan syarikat itu ke Pangkor ditangguhkan. – UTUSAN