MELAKA: Lebih 200 penduduk di Jalan Kejora 1, 2 dan 3 Taman Rambai Jaya dekat sini bimbang dengan masalah banjir kilat yang bagaikan tiada jalan penyelesaian, sejak menduduki kediaman itu pada 2013.
Terbaharu, hujan lebat sejak pukul 3.30 pagi semalam menyebabkan tiga jalan berkenaan dilanda bah paling teruk melebihi paras buku lali dan sehingga pukul 12 tengah hari, air belum surut sepenuhnya.
Menurut penduduk, ia merupakan kejadian ketiga melanda sepanjang bulan ini.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, seorang penduduk, Mohd. Darul Naim, 39, berkata, kerajaan negeri seharusnya memikirkan langkah terbaik bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku di situ.
Menurutnya, biarpun rumah pam telah dibina berhampiran Sungai Air Salak tetapi ia bukanlah jalan penyelesaian mengatasi kemelut tersebut.
“Hari ini rumah saya dilanda banjir kilat dan dalam bulan ini sahaja sudah tiga kali musibah ini berlaku. Sampai bila saya perlu berdepan masalah ini? Kerajaan negeri buatlah sesuatu.
“Mei tahun lalu adalah banjir paling teruk saya alami. Air masuk ke dalam rumah dan habis segala perabot dan barangan elektrik rosak dan saya menanggung kerugian sebanyak RM15,000,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi penduduk, Zamry Husin, 42, pula berkata, kerajaan negeri perlu membantu menyelesaikan kekusutan yang membelenggu penduduk kerana banjir kilat pasti berlaku setiap kali hujan lebat melanda.
“Saya dah penat berdepan banjir kilat kerana bulan ini sahaja sudah tiga kali rumah dinaiki air. Ada pam air pun tak juga selesai masalah.
“Sewajarnya satu kajian dibuat seperti membesar atau mendalamkan Sungai Air Salak bagi mengurangkan kejadian banjir kilat,” katanya. – UTUSAN