KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan sedang meneliti masalah dari segi kekangan atau cabaran baharu dalam konteks ketidakhadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, masalah ketidakhadiran calon SPM sudah berlanjutan sekian lama dan ia bukan sahaja perkara baharu tetapi memerlukan penyelesaian secara menyeluruh.
Menurut beliau, kementerian sedang berusaha membina diri pelajar-pelajar daripada peringkat awal persekolahan iaitu sekolah rendah ke menengah supaya pelajar memahami sekolah adalah sebahagian daripada kehidupan mereka.
“Ini merupakan perkara yang perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia sudah berlarutan sekian lama sebab itu antara perkara kita tekankan dalam konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ adalah mewujudkan suasana di mana anak-anak kita seronok untuk hadir tanpa perlu dipaksa.
“Jika ini dapat diwujudkan pada peringkat bawah lagi maka insya-Allah kita dapat lihat pada masa akan datang, perkara ini kita dapat diuruskan dengan lebih holistik dan menyeluruh,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis sambutan ulang tahun ke 66 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pelancaran Jendela DBP di sini hari ini.
Terdahulu, Lembaga Peperiksaan memaklumkan sebanyak 10,681 calon tidak menduduki SPM bagi tahun 2021.
Radzi berkata, kementerian mahu mengadakan analisis yang lebih menyeluruh supaya masalah-masalah dihadapi oleh calon SPM ini dapat dicerakinkan untuk menghasilkan pendekatan lebih sesuai.
“Jika tidak perkara ini akan terus berlarutan kalau kita tidak meneliti secara menyeluruh dan cerakinkan perkara yang menyumbang kepada ketidakhadiran calon SPM, kita mungkin tidak dapat mencari pendekatan atau mekanisme paling sesuai,” jelasnya. – UTUSAN