CIMA peruntuk RM590,000 untuk kajian penyelesaian konkrit marin mesra alam sekitar - Utusan Malaysia

CIMA peruntuk RM590,000 untuk kajian penyelesaian konkrit marin mesra alam sekitar

CEMENT Industries of Malaysia Berhad (CIMA)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) memperuntukkan RM590,000 bagi pelaksanaan kajian untuk membangunkan penyelesaian konkrit marin mesra alam sekitar, yang diumumkan sebelum ini menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Oktober 2024.

Di bawah kerjasama ini, Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) di Universiti Sains Malaysia (USM) akan menerajui kajian ini, termasuklah dalam bidang reka bentuk, aplikasi di lapangan dan pemantauan kesan ke atas alam sekitar daripada struktur konkrit marin di tempat yang telah dikenal pasti.

CIMA akan menyumbang kepakarannya dalam teknologi hijau dan bahan binaan mampan bagi memastikan penyelesaian yang dibangunkan ini bukan sahaja bertanggungjawab ke atas alam sekitar, bahkan juga berdaya tahan.

Surat tawaran geran penyelidikan ini telah ditandatangani Pengarah Urusan CIMA, Hairol Azizi Tajudin, Pengarah Urusan Kumpulan, Usains Infotech Sdn Bhd (USAINS), Farid Wajidi Mat Yusoff dan Pengarah CEMACS, Datuk Dr. Aileen Tan Shau Hwai.

Hairol Azizi berkata, penglibatan CIMA dalam kajian ini merupakan manifestasi komitmennya untuk menjadi pemangkin ke arah inovasi mampan, selari dengan motto syarikat iaitu Transforming the Nation with Care.

“Kami komited ke arah memupuk inovasi yang bukan sahaja menyumbang kepada pemeliharaan iklim dan marin negara tetapi juga untuk membangunkan infrastruktur yang berdaya tahan dan mampu mendepani masa hadapan.

“Menerusi kerjasama dan inovasi seperti ini, kita boleh sama-sama mewujudkan masa hadapan yang lebih mampan buat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, usaha sama ini merupakan bukti institusi pendidikan dan pemain industri boleh berkerjasama untuk membangunkan satu penyelesaian praktikal dan saintifik yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar.

Jelasnya, ia bukan sahaja melindungi ekosistem pantai dan menambah baik biodiversiti, malah memenuhi keperluan infrastruktur.

“Projek ini bertujuan untuk membangunkan konkrit marin yang memberikan keseimbangan di antara keperluan alam sekitar dengan ketahanan struktur yang diperlukan bagi infrastruktur pantai.

“Ia merupakan langkah penting ke arah menyokong aspirasi Malaysia bagi mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050, selari dengan komitmen iklim antarabangsa,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN