KUALA LUMPUR: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam siri-siri pilihan raya termasuk pilihan raya negeri (PRN) bukan jaminan kemenangan sekali gus boleh menguasai kerajaan dengan mudah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sikap itu amat berbahaya dan berisiko jika ahli-ahli BN terus beranggapan sedemikian.
Beliau menegaskan tanggapan itu perlu dibuang segera dengan melihat kedudukan BN pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang tidak sama berbanding zaman kegemilangan dahulu.
“Pertama seperti yang telah saya nyatakan dalam pelbagai ucapan saya yang lepas, kedudukan BN sekarang bukan seperti tahun-tahun sebelum 2018. Pasca 2018, adalah era yang berbeza sama sekali.
“BN telah menjadi sangat mengecil, bukan sahaja dari segi jumlah ahli Parlimen, tetapi juga jumlah parti komponen, negeri yang kita kuasai, malah sokongan popular masyarakat awam.
“Keadaan ini bukan hanya agak-agakan. Bukan ramalan atau tekaan. Ini adalah realiti, yang kesemuanya boleh disandarkan secara jelas kepada fakta dan data,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Katanya, BN mesti menerima hakikat bahawa jenama sahaja tidak akan memenangkan parti itu kerana pengalaman memerintah sudah tidak menjadi kelebihan yang mutlak sekali gus tidak akan meyakinkan semua pengundi secara automatik.
Justeru kata beliau, BN perlu berpijak di bumi yang nyata dan menerima realiti bahawa kemenangan tidak akan datang bergolek dan mesti diusahakan dengan usaha yang gigih dan gerak kerja yang strategik.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden UMNO itu menambah, BN harus tampil dengan imej yang revolusional dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) di samping menyingkirkan persepsi kuasa, korupsi dan kebejatan moral yang sinonim dengan parti itu selama ini.
Katanya, sambil mengetengahkan imej yang ‘cool but serious and promising’, BN mampu meraih kepercayaan rakyat dan akhirnya menyebabkan masyarakat percaya sebagai satu parti yang benar-benar membawa idea yang revolusional. – UTUSAN