Keluarga risau guru sekolah memandu hilang selepas salah jalan - Utusan Malaysia

Keluarga risau guru sekolah memandu hilang selepas salah jalan

GAMBAR Chan Kwan Yin bersama kenderaan Perodua Axia dinaikinya ketika tersesat dan hilang sejak Sabtu lalu di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kehilangan seorang warga emas yang tidak pulang ke rumah sejak lima hari lalu mencetuskan tanda tanya serta kerisauan dalam kalangan ahli keluarganya.

Kali terakhir Chan Kwan Yin, 77, ditemukan ahli keluarganya ketika dia meninggalkan rumah di Skudai, di sini kira-kira pukul 7.30 pagi, Sabtu lalu untuk ke tempat kerjanya di sebuah sekolah memandu yang terletak di Perling.

Anak perempuannya, Aura Chan berkata, kebiasaan bapanya akan pulang ke rumah kira-kira pukul 3 petang, namun hingga lewat petang pada hari kejadian dia masih belum sampai ke rumah.

“Kami cuba menghubunginya namun tidak berjawab. Selepas beberapa kali mencuba, akhirnya dia menjawab panggilan memaklumkan tersesat jalan dan secara tidak sengaja memasuki Laluan Linkedua menghala ke Tuas, Singapura.

“Saya jelaskan kepada pegawai Imigresen di sana bahawa ayah tidak sengaja masuk ke situ dan pegawai itu bantunya untuk patah balik ke Johor. Namun selepas beberapa jam, dia masih belum sampai rumah, ketika dihubungi ayah beritahu dia tersilap jalan lagi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Aura Chan berkata, bapanya cuba menjelaskan kedudukan dia berada tetapi mereka tidak dapat mengenal pasti kawasan yang digambarkan, melainkan diberitahu keadaan di situ sunyi dan hanya dapat melihat bangunan tinggi di kedudukan agak jauh.

“Beberapa jam selepas itu bapa langsung tidak dapat dihubungi hingga menimbulkan kebimbangan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Mutiara Rini pada hari sama.

Aura Chan berkata, keluarganya turut berkongsi gambar bapanya di media sosial supaya orang ramai dapat membantu mengesan warga emas itu sebelum ada yang memaklumkan bahawa bapanya dilihat berada di Bandar Baru Uda, pada malam kejadian.

“Sehingga kini kami tetap mencarinya di merata tempat tetapi tidak berjaya. Kami lima beradik serta ibu semakin bimbang memikirkan keadaan bapa yang masih tidak ditemukan setelah berhari-hari. Kami merayu orang ramai untuk menghubungi keluarga sekiranya memiliki maklumat berkaitan perkara ini. Bapa menghidap darah tinggi dan kencing manis, jadi kami risau kerana sudah beberapa hari dia tidak makan ubat,” katanya.

Aura memberitahu, bapanya memandu kereta jenis Perodua Axia dengan nombor pendaftaran JTU9169.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pelbagai usaha dijalankan bagi menjejaki lelaki berkenaan termasuk pencarian di lokasi berkemungkinan.

Menurutnya, ia termasuk di hospital di bandar raya ini, namun sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berkaitan lelaki berkenaan, namun operasi pencarian diteruskan dengan menggerakkan unit kenderaan peronda bergerak (MPV). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN