KLANG: Kisah cinta seorang pelajar perempuan dengan penganggur berakhir tragedi apabila dia mati ditekup menggunakan bantal oleh kekasihnya dalam kejadian di Kampung Idaman, Pandamaran di sini semalam.
Kejadian pukul 2 pagi itu berlaku selepas mangsa yang berusia 16 tahun dibawa kekasihnya yang berumur 24 tahun menaiki Perodua Myvi ke rumahnya.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian tersebut diketahui apabila suspek mengetuk pintu bilik tidur ibu bapanya selepas mengangkat mangsa dari biliknya ke halaman rumah.
“Ahli keluarga suspek yang terkejut terus menghubungi polis sebelum seorang pegawai perubatan tiba ke lokasi kejadian dan mengesahkan kematian mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati mangsa tinggal di Puchong bersama bapa saudaranya selepas ibu bapanya bercerai dan mangsa dikatakan sudah setahun menjalin hubungan dengan suspek.
“Berdasarkan siasatan awal berlaku perselisihan faham antara suspek dan mangsa di bilik tidur tersebut. Suspek juga dikatakan pernah membawa mangsa ke rumahnya beberapa kali sebelum ini.
“Hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan calar dan lebam di bahagian muka dan leher mangsa. Bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas akibat ditekup,” jelasnya.
Kata Hoong Fong lagi, suspek kini direman sehingga 3 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Suspek juga tidak mempunyai rekod lampau.- UTUSAN