Jauhi ritual, pemujaan di Gunung Jerai – Mufti Kedah - Utusan Malaysia

Jauhi ritual, pemujaan di Gunung Jerai – Mufti Kedah

SYEIKH Fadzil Awang (tengah) ketika mengadakan lawatan ke Telaga Tok Syeikh yang sering dijadikan lokasi ritual atau aktiviti pemujaan di Gunung Jerai, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang mengingatkan umat Islam supaya menjauhi sebarang aktiviti pemujaan atau ritual dengan hajat tertentu di Gunung Jerai dekat sini yang dikhuatiri merosakkan akidah.

Menurut beliau, perlakuan seumpama itu di kawasan tersebut seperti Telaga Tok Syeikh dengan niat tertentu seperti tolak bala, sembuh penyakit dan mendapatkan sesuatu hajat adalah khurafat.

“Islam melarang keras (khurafat) kerana boleh menjerumus seseorang itu kepada perbuatan dosa dan maksiat serta mencemar agama Islam.

“Jabatan Mufti Kedah ingin menasihatkan pengunjung (Gunung Jerai) supaya menjauhi perbuatan atau perlakuan yang tidak bersesuaian dan mencemarkan kesucian agama,” katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook, Jabatan Mufti Kedah semalam.

Beliau mengulas tentang insiden beberapa individu yang disyaki melakukan ritual dikhuatiri amalan khurafat di puncak Gunung Jerai baru-baru ini.

Mengulas lanjut, kata Mufti Kedah itu, Islam tidak menegah umatnya sekadar mandi atau mengambil wuduk di telaga tersebut tanpa sebarang niat atau menjuruskan kepada pemujaan atau tabaruk kepada tokoh tertentu.

“Pandangan Jabatan Mufti Kedah, mengambil wuduk atau mandi di mana-mana sumber air seperti telaga, parit, kolam dan sebagai adalah harus dan tidak menjadi tegahan dalam agama asalkan tujuan mandi adalah untuk bersejuk-sejuk, mengambil wuduk untuk solat atau sebagainya.

“Dilarang sekiranya mandi atau ambil wuduk dengan perlakuan luar biasa yang tidak bersesuaian atau ada ritual tertentu yang agak pelik dan terdedah kepada kemungkinan dilihat amalan khurafat,” katanya.

Menurut Syeikh Fadzil, pihaknya turut mengadakan lawatan dan meninjau kawasan tersebut baru-baru ini serta mendapati aktiviti pemujaan atau ritual di situ sudah berkurangan sejak musibah kepala air pada Ogos tahun lepas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN