Iran pertama kali lancar peluru berpandu balistik Kheibar Shekan - Utusan Malaysia

Iran pertama kali lancar peluru berpandu balistik Kheibar Shekan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan pelancaran sulung peluru berpandu balistik generasi ketiga Kheibar Shekan berhulu ledak berganda dalam gelombang ke-20 Operasi Janji Sejati III yang dilancarkan pada awal pagi Ahad.

Menurut kenyataan rasmi Jabatan Perhubungan Awam IRGC, peluru berpandu berteknologi tinggi itu mengenai sasaran strategik, sekaligus menandakan era baharu dalam kekuatan peluru berpandu Iran.

“Dalam operasi ini, buat pertama kalinya, Pasukan Aeroangkasa IRGC menggunakan peluru berpandu balistik Kheibar Shekan generasi ketiga berhulu ledak berganda yang dilengkapi taktik baharu dan mengejutkan, bagi meningkatkan ketepatan, kuasa kemusnahan dan keberkesanan serangan,” kata kenyataan itu.

Pelancaran gelombang ke-20 ini berlaku hanya beberapa jam selepas Amerika Syarikat (AS) menyerang tiga kemudahan nuklear Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan dalam serangan udara terancang.

Sebagai tindak balas, IRGC melancarkan sebanyak 40 peluru berpandu berkuasa tinggi, sama ada berasaskan bahan api cecair mahupun pepejal, ke atas pelbagai sasaran strategik di Israel.

Antara sasaran utama ialah Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv, pusat penyelidikan biologi milik rejim dan beberapa pusat kawalan dan arahan alternatif milik tentera Israel.

IRGC menjelaskan peluru berpandu Kheibar Shekan kali ini dilengkapi hulu ledak yang boleh bermanuver ketika menjunam, mengekalkan panduan sasaran sehingga ke detik hentaman, serta membawa pelbagai bahan letupan berkuasa tinggi yang mampu menyebabkan kemusnahan besar-besaran.

“Kami mengisytiharkan bahawa keupayaan utama Angkatan Bersenjata Republik Islam Iran masih belum digerakkan dalam pertahanan suci ini,” kata kenyataan IRGC, memberikan isyarat jelas lebih banyak kekuatan strategik Iran masih disimpan sebagai langkah berjaga-jaga.

Setakat ini, Iran telah melancarkan 20 gelombang serangan dalam rangka Operasi Janji Sejati III, menyasarkan pusat-pusat ketenteraan, perisikan dan infrastruktur sensitif yang dikawal rejim Israel.

Serangan bertubi-tubi ini dilaksanakan sebagai membalas pencerobohan berterusan Israel yang didakwa telah meragut nyawa lebih 400 rakyat Iran sejak 13 Jun lalu, termasuk pegawai kanan tentera, saintis, profesor universiti, atlet, pelajar sekolah dan orang awam yang tidak berdosa.

Iran berikrar akan terus mempertahankan kedaulatannya dan membalas sebarang bentuk pencerobohan dengan segala keupayaan yang dimiliki. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×