'Jangan sampai saya telanjangkan dia'  - Ka Siong - Utusan Malaysia

‘Jangan sampai saya telanjangkan dia’  – Ka Siong

WEE Ka Siong (tengah) mengadakan sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor di Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Perselisihan pendapat antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan bekas Ketua MCA Bahagian Pontian, Datuk Tee Siew Kiong terus panas.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam meminta Siew Kiong yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang supaya berhenti berbohong dan jangan membuat dakwaan mengarut.

Menurutnya, Siew Kiong yang telah menolak tawaran kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk mencalonkannya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.

“Mengarut, jangan cakap bohong, jangan sampai kita terpaksa telanjangkan dia. Selama ini saya memilih untuk berdiam diri kerana saya tahu perkara yang benar akan kekal benar, tanyalah mana-mana pucuk pimpinan MCA (berhubung perkara ini).

“Kepimpinan BN sudah muktamad untuk tawarkan dia (Siew Kiong) kerusi DUN Puteri Wangsa, tetapi dia tolak dengan alasan kerusi itu terlalu besar, kemudian dia pusing cerita dan berkata tidak ditawarkan kerusi.

“Sekarang kamu cakap perkara lain pula. Jadi, saya gunakan perkataan jangan mengarut. Jika saya tunjuk mesej dia nanti dia yang malu pula. Keputusan itu (gantung keahlian) dibuat Majlis Presiden bukan hanya seorang diri,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor, di sini hari ini.

Ka Siong berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Siew Kiong yang mengatakan tindakan parti itu menggantung keahliannya selama lima tahun sebagai satu serangan berbentuk peribadi oleh Presiden MCA.

Siew Kiong sebelum ini telah mengadakan beberapa sidang akhbar bagi mengkritik tindakan Presiden MCA yang bersikap pilih bulu dalam mengenakan hukuman terhadap mana-mana ahli yang tidak sependapat dengannya.

Sehubungan itu, Ka Siong memberitahu, tumpuannya ketika ini adalah untuk memperkasakan parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang yang dijangka tidak lama lagi dan bukan soal peribadi seperti dakwaan berkenaan.

“Saya jarang mahu bercakap seperti ini, tetapi itu bukan bermakna saya berasa takut, sebaliknya dia sudah bukan lagi ahli parti. Jadi, tiada keperluan untuk saya menjawab dakwaan-dakwaan yang dibuatnya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya