Jangan main lagu-lagu saya - S.Atan kesal isu bayaran royalti - Utusan Malaysia

Jangan main lagu-lagu saya – S.Atan kesal isu bayaran royalti

S. ATAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Komposer dan penulis lirik, S. Atan kecewa dengan segelintir stesen televisyen dan radio yang gagal menjelaskan bayaran royalti kepadanya mengikut jumlah yang sepatutnya.

Tegas pemilik nama penuh Hashim Said itu, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan lagu-lagunya, termasuk lagu hari raya banyak diputarkan dan dipertontonkan di televisyen dan radio.

“Saya hairan. Radio dan TV main lagu saya. tapi bayaran royalti yang saya terima tidak berpatutan.

“Jangan cakap saya tak tagih. Berkali-kali saya hubungi Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) bercakap soal ini.

“Namun alasan mereka tetap sama, stesen radio dan TV bayar sikit. Padahal, lagu-lagu saya selalu dimainkan,” luahnya kepada Utusan Malaysia.

Berkongsi lanjut, S. Atan mendedahkan kali terakhir bila dibayar penuh adalah pada 2018.

Namun katanya, dia mula menyedari bayaran yang diberikan semakin berkurangan pada tahun-tahun seterusnya.

“Dahulu, saya dibayar RM100,000 setahun. Sehinggalah 2018. Namun selepas itu, RM50,000 (setahun) pun tak sampai. Adalah, dalam RM30,000 sahaja.

“Macam mana saya nak hidup. Umur sudah lanjut, pendapatan tetap juga tiada. Saya ada anak bini untuk ditanggung. Saya sedih, diperlakukan macam ini,” luahnya.

Dalam pada itu, bapa lima cahaya mata ini meminta pihak berkenaan agar menghalang lagu-lagunya dimainkan sekiranya dia tidak bayar secara adil.

“Saya minta MACP, kalau ada stesen televisyen atau radio yang gagal bayar royalti saya, jangan main lagu-lagu saya.

“Saya tak reda. Ambillah hak saya, biar mereka jawab di akhirat nanti,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN