SEPANG: Meskipun bukan di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), agensi itu meminta mangsa penipuan badal haji palsu agar segera membuat laporan polis.
Nasihat ini disuarakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary susulan banyak kes melibatkan tawaran iklan perkhidmatan itu.
“Tabung Haji pun pada tahun ini tidak buat (badal haji) walaupun ada dapat banyak permintaan, namun kita pantau perkembangan isu ini dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas meninjau rapi operasi pelaksanaan Makkah Route atau program praperlepasan bakal jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Malaysia merupakan negara perintis inisiatif itu yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi pada 2017 lalu sebelum diperluaskan pula kepada Indonesia, Bangladesh, Maghribi dan Pakistan.
Semalam, Persatuan Pelajar Malaysia Mekah menafikan pelbagai hantaran tular melalui media sosial tempatan yang mendakwa konon mereka menawarkan badal haji dengan kos rendah susulan pendedahan Pengarah Operasi Bimbingan Tabung Haji di Mekah, Tengku Aziz Raja Abdullah kelmarin mengenai lambakan iklan tawaran palsu itu dengan harga tidak munasabah.
Sedangkan pihak berkuasa Arab Saudi menetapkan kos permit badal haji untuk musim kali ini bagi seorang ialah 10,000 riyal (kira-kira RM11,730) dengan pelbagai protokol yang amat ketat dan ia lazimnya ditawarkan pelbagai agensi pengembaraan di negara ini terletak di bawah pemantauan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Ahmad Marzuk turut menasihatkan umat Islam supaya lebih berhati-hati serta kena memastikan daripada pihak berautoriti jika masih ragu dengan iklan perkhidmatan itu yang tampak tidak logik.
Beliau turut meminta masyarakat agar belajar daripada kesilapan pengalaman lepas apabila ramai terpedaya dengan tawaran badal pada harga rendah oleh pihak tidak bertanggungjawab antaranya tawaran kos hanya kurang RM3,000 dengan mendakwa konon urusan badal ibadah itu dilakukan pelajar Malaysia berada di universiti sekitar Tanah Suci. –UTUSAN










