ITEX galakkan idea inovasi belia

ITEX galakkan idea inovasi belia

DR. ADHAM Baba (dua dari kiri) melawat tapak pameran selepas merasmikan Pameran Reka Cipta, Inovasi & Teknologi Antarabangsa, Malaysia (ITEX 2022) di KLCC. - IHSAN PEJABAT MOSTI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pameran Reka Cipta, Inovasi & Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2022 kini menggalakkan idea inovasi daripada golongan belia melalui Pameran Dunia Pencipta Muda (WYIE) dengan menampilkan ciptaan daripada pelajar serata dunia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, beliau pasti ITEX akan memacu produktiviti dan pertumubuhan Malaysia menjadi sebuah negara maju serta bersedia menghadapi masa hadapan.

Menurut beliau, program ITEX 2022 yang sudah diadakan selama 33 tahun ini menunjukkan komitmen terhadap meningkatkan peranan inovasi dan kreativiti dalam mengikuti perubahan teknologi dari masa ke masa.

“Saya gembira dengan usaha penganjur iaitu Persatuan Reka Cipta dan Reka Bentuk Malaysia (MINDS) dan C.I.S Network Sdn Bhd (CIS) dalam mengumpulkan para inovator, pemain industri, ahli akademik dan pelabur di dalam satu platform yang menyatukan seluruh pihak.

“Saya percaya inisiatif ini akan mengatur rentak untuk kemunculan teknologi baru yang canggih. Saya doakan setiap pihak berjaya bekerjasama dan dapat membentuk satu perniagaan yang mantap,” ucapnya semasa majlis perasmian ITEX 2022 di sini, baru-baru ini.

Untuk rekod, ITEX telah berlangsung selama lebih tiga dekad dan penganjuran program itu berjaya membuka pintu kepada beribu-ribu saintis, penyelidik dan pencipta untuk mendapatkan peluang pelaburan.

Program tersebut mempunyai ciri ekosistem yang berkembang maju mendemokrasikan teknologi dan menyediakan platform untuk peserta menampilkan idea kreatif mereka bagi mendapatkan pengiktirafan serta perhatian sewajarnya.

Sementara itu, Presiden MINDS, Tan Sri Dr. Augustine Ong Soon Hock memaklumkan, ITEX mendapat penyertaan hampir 500 ciptaan inovasi daripada 15 negara iaitu Bahrain, Canada, Hong Kong, Indonesia, Kuwait, Malaysia, Oman, Qatar, Arab Saudi, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat.

Katanya, ITEX pada tahun ini membawakan tema ‘Beyond Invention’ bertujuan untuk membawa aspirasi yang mengembangkan pengetahuan manusia dan memecahkan ‘halangan’ teknologi suapaya kita dapat menuju ke hari yang lebih baik.

“Ini adalah harapan dan hasrat ITEX supaya akan memacu inovasi di Malaysia dan berfungsi sebagai sebuah platform untuk memanfaatkan potensi bakat tempatan dengan menyedikan mereka jalan untuk menunjukkan kepada dunia keupayaan mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN