Isu Mara: Tugas SPRM selesai, tiada maklumat kes digugurkan - Utusan Malaysia

Isu Mara: Tugas SPRM selesai, tiada maklumat kes digugurkan

AZAM Baki beramah mesra dengan penerima anugerah Media SPRM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menerima pemakluman berhubung pengguguran pendakwaan membabitkan tiga individu yang disiasat dalan skandal integriti Mara Corporation (Mara Corp). 

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, sebaik siasatan selesai, SPRM sudah  mencadangkan beberapa nama kepada Jabatan Peguam Negara untuk dituduh.

Kata beliau, SPRM sebagai pegawai penyiasat telah menghantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk dikaji.

“Kita sudah cadangkan nama untuk dituduh. Setakat ini kita tidak mempunyai makluman dari Jabatan Peguam berhubung kes yang tak dituduh. 

“Jadi saya tiada komen mengenai perkara itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis  Anugerah Media SPRM, di sini hari ini. 

Azam menjelaskan, dalam kes tersebut SPRM sudah menyelesaikan tanggungjawab melakukan siasatan kes berkenaan. 

“Tugas kami sudah siasat dan keterangan yang ada sudah memadai untuk SPRM mencadangan pertuduhan ke atas beberapa pihak,” katanya.

Media semalam melaporkan, Jabatan Peguam Negara didakwa tidak meneruskan pendakwaan bagi kes Mara Corp. biarpun kertas siasatan diserahkan SPRM sejak awal April lalu. 

Sebelum ini, SPRM memaklumkan pihaknya sudah melengkapkan siasatan berhubung dakwaan isu integriti membabitkan lima pegawai kanan Mara yang dikaitkan dengan penyalahgunaan kuasa.

Pendedahan mengenainya dibuat satu pemilik akaun Twitter menerusi ciapannya yang turut melampirkan enam halaman surat berhubung isu integriti pegawai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu.

Lima pegawai agensi itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur secara berasingan, menafikan terbabit perbuatan seperti didakwa.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN