PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baharu, Isham Jalil bertekad terus berjuang menerusi platform parti itu bagi memastikan rakyat dan negara dapat menikmati kehidupan lebih baik.
Isham berkata, kepercayaan dan peluang yang diberikan itu digalas dengan penuh bertanggungjawab.
“Saya telah mengangkat sumpah sebagai Ahli MKT di hadapan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan kepemimpinan tertinggi parti yang lain malam tadi.
“Saya akan terus berjuang untuk kehidupan rakyat dan negara yang lebih baik di samping masa depan kita semua,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Pelantikan bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor itu berkuat kuasa semalam bagi menggantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang digugurkan daripada MKT.
Beliau sebelum ini juga merupakan bekas pegawai khas kepada Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam perkembangan sama, Isham berterima kasih kepada seluruh kepemimpinan tertinggi parti dan ahli MKT kerana menyokong pelantikannya itu.
Katanya, ucapan berkenaan turut diberikan kepada semua akar umbi UMNO yang bersama-sama dalam perjuangan parti selama ini. – UTUSAN