Isham bakal Pengarah Komunikasi BN Selangor?

Isham bakal Pengarah Komunikasi BN Selangor?

JAMAL Yunos berucap dalam Majlis Sumbangan Prihatin UMNO Bahagian Sungai Besar dekat Sekinchan di Sabak Bernam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Barisan Nasional (BN) Selangor merancang untuk melantik Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil selaku Pengarah Komunikasi BN di negeri ini.

Malah, pengguguran namanya sebagai Ketua Penerangan BN Selangor sebelum ini bukanlah suatu penyingkiran, sebaliknya tindakan tersebut adalah sebagai pertukaran portfolio.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata perkara itu sudah dimaklumkan  kepada pemimpin tersebut namun masih menunggu maklum balas daripadanya.

“Kita sebenarnya memang mempunyai perancangan untuk menukar jawatan Isham daripada Ketua Penerangan BN kepada Pengarah Komunikasi BN Selangor.

“Namun, surat menyatakan penamatan khidmat beliau tular lebih awal daripada pelantikannya ke jawatan baharu,” katanya selepas menghadiri Majlis Sumbangan Prihatin UMNO Bahagian Sungai Besar kepada mangsa banjir di Taman Ria, Sekinchan di sini, hari ini.

Pada 8 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan Isham sebagai Ketua Penerangan BN Selangor ditamatkan perkhidmatannya berkuat kuasa serta-merta.

Maklumat itu merujuk sepucuk surat bertarikh 3 Jun yang memaklumkan penamatan dibuat berdasarkan perbincangan bersama Pengerusi BN dan Fasal 23 perlembagaannya.

Surat yang ditandatangani Setiausaha BN negeri, Datuk Dr. Mohamad Satim Diman menyatakan jawatan Ketua Penerangan peringkat negeri tidak termaktub dan tertera dalam perlembagaan bagi Pengerusi Jawatankuasa BN Negeri untuk melantiknya.

Jelas Jamal, perbincang untuk melantik Isham sebagai Pengarah Komunikasi itu selaras dengan Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

“Namun, saya yakin perkara itu dapat diselesaikan selepas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar pulang dari tugasan rasmi di luar negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelantikan Isham sebagai MKT UMNO, amat dialukan kerana disifatkan seorang tokoh berwibawa di negeri ini.

“Saya melihat ramai MKT dari Selangor dan berterima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan beliau melantik Isham.

Pelantikan seseorang individu dalam MKT bawah bidang kuasa Presiden yang dirasakan layak dan boleh membantu dan memberikan sumbangan kepada parti,” jelasnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN