PUTRAJAYA: Tan Sri Annuar Musa berpendapat, hanya individu berautoriti boleh menggesa supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dipercepat.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, UMNO sehingga kini belum membuat sebarang keputusan mengenai tarikh PRU15.
“Ia sangat mudah, yang pertama apakah parti sudah buat keputusan untuk pilihan raya? Yang bercakap itu individu, jadi bila individu tengok pula pada locus standinya.
“Kalau nak bercakap itu biarlah presiden, timbalan presiden, ahli Majlis Tertinggi. Itulah orang-orang yang berautoriti bercakap soal bila, setakat yang saya tahu dan saya rasa saya tidak salah, parti belum lagi memutuskan apa-apa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 Kementerian Komunikasi dan Multimedia, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai hantaran Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi di laman Facebooknya dengan menyatakan Annuar sepatutnya tidak membuat tafsiran mengikut selera terhadap titah Yang di-Pertuan Agong mengenai politiking serta akar umbi UMNO mahu PRU15 dipercepat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu menjelaskan, kerajaan yang ada ketika ini merupakan sebuah kerajaan yang terbentuk daripada berbagai parti dan parti-parti lain turut berhak menyatakan pandangan masing-masing. – UTUSAN