JASIN: Melaka dilabelkan sebagai sebuah negeri yang sangat kondusif untuk didiami kerana indeks jenayah dicatatkan sepanjang tempoh lima bulan lalu adalah paling rendah berbanding negeri-negeri lain.
Ketua Polis negeri, Datuk Zainol Samah berkata, hanya 605 kes dicatatkan dari Januari hingga Mei 2022 berbanding 619 kes tempoh sama tahun lalu, iaitu menurun sebanyak 14 kes atau 2.26 peratus.
Menurutnya, sebanyak 318 daripada 605 kes itu berjaya diselesaikan pihaknya iaitu pencapaian kira-kira 52 peratus.
“Lihat kepada statistik indeks jenayah di negeri ini menunjukkan penurunan, namun ada beberapa jenayah lain menunjukkan sedikit peningkatan.
“Bagi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), kita sentiasa mengambil tindakan proaktif mendapatkan maklumat bagi mengesan penjenayah terbabit, setakat sekarang alhamdulillah keselamatan dan jenayah di negeri ini terkawal,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Townhall Bembanku Maju Jaya di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Bemban dekat sini, semalam.
Zainol berkata, bagi statistik jenayah di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) pula, ia menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak 18 kes atau 23 peratus kepada 90 kes bagi Januari hingga Mei 2022.
Beliau berkata, untuk Japerun Bemban pula, hanya enam kes dicatatkan tahun ini, sama seperti 2021.
“Sesi yang diadakan ini adalah manifestasi komitmen PDRM memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan efisien bagi memenuhi ekspektasi masyarakat dalam konteks penyampaian perkhidmatan,” jelasnya. – UTUSAN










