Identiti mangsa bunuh, bakar dikenal pasti - Utusan Malaysia

Identiti mangsa bunuh, bakar dikenal pasti

MIOR FARIDALATRASH WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Identiti wanita dipercayai mangsa bunuh yang ditemukan dalam keadaan terbakar di tepi sungai dekat Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar semalam, telah dikenal pasti.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, identiti wanita berusia 21 tahun itu dikenal pasti berdasarkan pengecaman yang dilakukan adik lelaki mangsa.

Katanya, lelaki itu hadir ke Balai Polis Kuala Kangsar pada pukul 2.45 petang tadi untuk membuat laporan mengenai kakaknya yang tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Stesen sejak semalam.

“Lelaki berusia 19 tahun itu memberitahu ada menghubungi wanita terbabit namun panggilan yang dibuat tidak berjawab. Berdasarkan temu bual, lelaki itu mengecam mangsa sebagai kakaknya berdasarkan selipar yang digunakan selain subang hidung yang dipakai di sebelah kanan, penyepit rambut dan pengecaman wajah yang hampir sama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, meskipun pengecaman dibuat lelaki itu hampir serupa, namun pihaknya akan menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan oleh pakar forensik di Hospital Kuala Kangsar, esok.

Katanya, pihak hospital juga akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dengan mengambil sampel darah bapa wanita itu bagi pengesahan tepat identiti.

“Kita juga akan membuat pemadanan gigi si mati dengan rekod pergigian kerana dimaklumkan mangsa ada membuat pemeriksaan di klinik pergigian di Kuala Kangsar. Buat masa sekarang, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif mangsa dibunuh dan dibakar di kawasan berkenaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mayat seorang wanita ditemukan pada pukul 3.05 petang semalam di tepi sungai dekat Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar.

Mayat dengan kesan luka di kepala itu dipercayai dibunuh dalam tempoh 24 jam sebelum dijumpai orang awam.

Turut ditemukan di lokasi kejadian, seketul batu konkrit dengan kesan darah dipercayai digunakan sebagai senjata untuk mencederakan mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN