KANGAR: Persatuan Wartawan Perlis (PWP) mengambil inisiatif menganjurkan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 peringkat negeri ini yang dijadual berlangsung di Norsalela Empire di sini, 13 Jun depan.
Sebagai rekod, PWP menjadi kelab media pertama menganjurkan sambutan tersebut yang bertujuan meraikan pengamal media di Perlis.
Program yang bermula pukul 2 sehingga 5 petang itu bakal dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.
Barisan Exco kerajaan negeri ini turut dijadual hadir bagi memberikan sokongan dan memeriahkan majlis berkenaan.
Presiden PWP, Mohamad Asri Shafii berkata, program itu juga sebagai inisiatif bagi menyokong Hawana Nasional yang berlangsung di Melaka pada 29 Mei lalu.
Katanya, sambutan tersebut mendapat sokongan baik bukan sahaja daripada komuniti media di negeri, malah kerajaan negeri dan barisan sekretariat yang membantu dalam menjayakan majlis berkenaan.
“Pada majlis tersebut, PWP turut menjemput veteran media Perlis bagi menghargai sumbangan mereka sebelum ini dan tokoh wartawanan negeri juga akan diumumkan pada majlis berkenaan.
“Jawatankuasa penganjur hanya mengambil masa kurang seminggu bagi melakukan persiapan untuk menjayakan program berkenaan yang mendapat sokongan pelbagai pihak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden PWP, Mohd. Hafiz Abd. Mutalib; Setiausaha PWP, Ahmad Muliady Ab.Majid dan barisan jawatankuasa penganjuran Hawana peringkat negeri ini.
Tambah Asri, antara aktiviti lain dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena Hawana peringkat negeri ini adalah program forum perdana di Masjid Tuanku Syed Faizuddin.
Katanya, pada keesokannya harinya pula ialah program kayuhan MAIPs peduli bersama PWP di Padang Besar.
“Kami di PWP mengucapkan terima kasih kepada sekretariat Hawana Nasional dan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) kerana sudi membantu jawatankuasa penganjur bagi membuat persiapan.
“Tidak lupa juga kepada barisan penaja, agensi kerajaan dan lain-lain pihak yang memberikan sokongan dalam menjayakan majlis tersebut,” katanya. – UTUSAN










