KOTA BHARU: Hampir RM2 juta melibatkan kos pembayaran pembinaan sebuah masjid ikonik di Gua Musang yang diuruskan pihak berkenaan masih belum dilunaskan kepada lapan syarikat.
Kos bayaran tersebut melibatkan empat konsultan dan empat subkontraktor bumiputera yang berpusat di Kuala Lumpur dan Selangor yang dihadapi mereka sudah lebih dua tahun.
Perkara itu didedahkan Pengarah Urusan Syarikat I-NAI Venture Holdings Sdn. Bhd., Nik Ahmed Mazlan Nik Mahidin yang juga subkontraktor terlibat dalam pembinaan masjid berkenaan.
Menurut Nik Ahmed Mazlan, untuk syarikatnya sahaja sejumlah lebih RM750,000 masih belum diterima bayaran bagi tempoh tersebut.
Katanya, mengikut perjanjian kontrak bayaran itu sepatutnya diselesaikan sebelum dan selepas siap sepenuhnya masjid berkenaan pada September 2020.
“Namun sehingga kini saya, pihak konsultan dan subkontraktor lain masih belum menerima sejumlah bayaran mengikut kadar yang berbeza dengan jumlah keseluruhan hampir RM2 juta. Saya juga tidak tahu sama ada pihak berkenaan sudah membuat bayaran kepada kontraktor utama atau sebaliknya, tetapi sehingga sekarang kami semua masih belum menerima bayaran itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kota Bharu semalam.
Hadir sama, Pengarah I-NAI Venture Holdings Sdn. Bhd., Nik Ahmed Mazrie Nik Mahidin dan Pengarah ODC Jaya, Wan Azlan Wan Jaafar.
Nik Ahmed Mazlan berkata, keadaan itu menyebabkan beberapa syarikat yang terlibat dengan projek pembinaan masjid itu sudah lumpuh kerana tiada kewangan dan modal pusingan untuk meneruskan perniagaan.
Jelasnya, berhubung perkara itu pihaknya pernah beberapa kali membuat rayuan dan berjumpa dengan pihak berkenaan yang mempunyai kaitan pembinaan masjid itu, tetapi tiada sebarang tindak balas.
“Keadaan itu juga menyebabkan saya terpaksa menanggung hutang sebanyak RM500,000 untuk membayar kepada seramai 40 pekerja termasuk pembekal. Begitu juga dengan konsultan dan subkontraktor yang lain turut mengalami masalah sama,” katanya.
Tambahnya, kelangsungan perniagaan mereka juga terjejas dan berharap pihak kontraktor utama membuat pembayaran segera. – UTUSAN










