Geng Macau Scam sewa kediaman elit elak dicekup

Geng Macau Scam sewa kediaman elit elak dicekup

VICTOR SANJOS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengesan sebanyak 12 buah pusat panggilan ‘Macau Scam’ menjadikan kediaman ‘berpagar dan berpengawal’ di kawasan perumahan elit sebagai markas untuk menjalankan aktiviti penipuan mereka.

Hasil pembongkaran sejak 2018 itu juga, sebanyak 138 tangkapan terdiri 99 lelaki dan 39 wanita warga tempatan berjaya diberkas kerana bertindak sebagai operator panggilan.

Memberitahu Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mersial (JSJK) Bukit Aman, Se­nior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, pusat panggilan haram itu dikesan aktif melakukan penipuan seperti Macau Scam, penipuan pelaburan, kegiatan pemberi pinjam wang tanpa lesen (along), penipuan menjual atau beli barang atau perkhidmatan dalam talian.

Kata beliau, mangsa-mangsa yang disasarkan sindiket itu melibatkan rakyat asing yang tinggal di negara luar.

“Kebiasaannya, bagi satu pusat panggilan akan ditempatkan antara empat sehingga lima ahli sindiket untuk menghubungi mangsa-mangsa mereka.

“Selain itu, polis tidak menolak kemungkinan mereka juga akan menempatkan jumlah sama di beberapa lokasi lain bagi mengelak dikesan,” kata­nya di sini semalam.

Mengulas lanjut, kata Victor, antara taktik lain yang digunakan oleh sindiket bagi mengaburi pihak berkuasa mahupun pemilik premis adalah dengan mengatakan pusat panggilan haram ini kononnya bagi menjalankan perniagaan secara da­lam talian.

“Justeru, kepada mana-mana pemilik kediaman supaya menyelidik dahulu latar belakang penyewa masing-masing sebelum menyewakan unit rumah mereka kerana dikhuatiri dijadikan lokasi melakukan aktiviti jenayah.

“Begitu juga dengan jiran-jiran setempat, jika ternampak di sebelah rumah terdapat sekumpulan individu yang mencurigakan, silalah salur maklumat kepada polis untuk kami ambil tindakan,” jelasnya.

Dalam pada itu, ujar Victor, risikan berterusan sentiasa dilaksanakan dengan melakukan serbuan, tangkapan, rampasan dan pertuduhan bagi melumpuhkan pusat panggilan haram.

“Tindakan pencegahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah juga dilaksanakan ke atas ahli-ahli sindiket bagi tujuan menyekat atau mengekang penglibatan mereka seterusnya dalam aktiviti ini.

“Selain itu, tindakan di bawah Akta Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram, Pencegahan Pem­biayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram juga akan diambil kepada ahli sindiket sekiranya terdapat bukti atau keterangan yang menunjukkan harta diperolehi mereka dari kegiatan yang menyalahi undang-undang ini,” jelasnya.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan kira-kira 41,986 individu telah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018 sehingga Mei lalu kerana terlibat dalam sindiket peni­puan dalam talian melibatkan kerugian mangsa RM2.3 billion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN