Gelombang baharu jangkitan Covid-19 mungkin lebih awal

Gelombang baharu jangkitan Covid-19 mungkin lebih awal

KHAIRY Jamaluddin merasmikan Perkhidmatan Otorinolaringologi ORL dan Sleep Lab di Hospital Rembau, di Rembau hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Malaysia mungkin menghadapi gelombang baharu Covid-19 lebih awal berbanding jangkaan dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara tersebut bukanlah untuk menakut-nakutkan rakyat tetapi lebih kepada langkah pencegahan.

Menurutnya, ia merupakan ramalan berdasarkan kes harian sebagai contoh sebanyak 2,766 kes positif Covid-19 yang telah dilaporkan hari ini.

“Sebelum ini paras kes antara 1,000 hingga 2,000 tetapi sejak dua tiga hari ni sudah melebihi 2,000 kes dan hari ini sudah 2,766 kes dan mungkin akan meningkat. 

“Keduanya, kes juga meningkat dengan dua kluster baharu iaitu kluster pendidikan dan pengajian tinggi. Semua negeri menunjukkan peningkatan kes dari semalam kecuali Selangor, Johor, Kedah, Terengganu dan Wilayah Persekutuan menunjukkan sedikit penurunan kes.  

“Kita melihat bahawa mungkin dalam beberapa minggu yang akan datang ini sekiranya kita tidak mengambil langkah berhati hati kes akan semakin meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perkhidmatan Otorinolaringologi ORL dan Sleep Lab di Hospital Rembau, di sini, hari ini.

Ujar Khairy lagi, gelombang peningkatan kes berkenaan juga telah dinyatakannya dengan jelas semasa mengumumkan fasa peralihan sebelum ini.

“Saya telah nyatakan dengan jelas jangkitan akan berlaku, kes akan ada pasang dan surutnya… dan ini adalah pengalaman dengan negara-negara lain di mana mereka berdepan dengan gelombang jangkitan dari masa ke masa.

“Yang penting keseriusan gelombang itu dengan kadar kematian, kadar kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) terkawal ataupun ada pada paras terendah. Itu maksudnya kita boleh hidup dengan Covid-19.

Khairy juga memberitahu, Kementerian Kesihatan sering mengikuti perkembangan Covid-19 di negara jiran, Singapura lebih-lebih lagi selepas pembukaan sempadan kedua-dua buah negara.

Dalam perkembangan virus cacar monyet pula, beliau berkata, sehingga 21 Jun lalu, Kemenyerian Kesihatan menerima lima notifikasi kes berkenaan iaitu individu berumur tiga hingga 30 tahun disyaki dijangkiti virus berkenaan di negara ini.

Bagaimanapun menurutnya, kesemua kes membabitkan dua lelaki dan tiga perempuan itu adalah didapati negatif virus cacar monyet. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN