PETALING JAYA: Kegilaan untuk kelihatan kurus dan cantik mendorong ramai rakyat dalam kalangan obesiti memilih jalan pintas iaitu melakukan pembedahan bariatrik atau erti kata lain proses membuang sebahagian perut dan potong usus.
Malah, senarai menunggu untuk melakukan pembedahan itu amat panjang dan Utusan Malaysia difahamkan, terdapat beberapa hospital kini sibuk membuat jadual pembedahan tersebut sepanjang tahun dan tempoh menunggu memakan masa tiga hingga enam bulan.
Sehingga ke hari ini, pembedahan yang menelan kos RM25,000 hingga RM37,000 dilakukan oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk ahli politik dan selebriti terkenal.
Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kemudahan untuk mana-mana individu mendapatkan pembedahan itu juga amat mudah khususnya ditawarkan oleh hospital-hospital swasta.
Paling membimbangkan, menurut beliau, terdapat segelintir pihak menawarkan pembedahan bariatrik sebagai rawatan estetik semata-mata kepada pesakit yang pada hakikatnya, mereka tidak memerlukan proses tersebut.
“Hal ini yang menambahkan bahaya kepada pesakit, ia juga kemungkinan punca apa berlaku di luar negara sekarang. Di mana mereka menawarkan prosedur-prosedur tidak sepatutnya diberi kepada pesakit dan boleh menyebabkan kematian.
“Kalau di hospital kerajaan, pesakit sukar untuk mendapatkan rawatan itu tanpa dirujuk pakar. Maknanya, pesakit perlu mendapatkan rawatan terlebih dahulu dan jika tak berjaya, baru kita jalankan pembedahan tersebut atas keperluan kesihatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Teknik pembedahan
Pembedahan bariatrik adalah teknik pembedahan bertujuan mengurangkan berat badan dengan cara meletakkan alat bantuan seperti pengikat gastrik mahupun pembuangan beberapa bahagian dalam perut. Ia seperti pintasan gastrik dan pembedahan sleeve gastrik antara penyelesaian kepada dilema individu obes.
Pembedahan bariatrik dicadangkan kepada mereka yang indeks jisim badan (BMI) melebihi 38 hingga 40 dan gagal melalui cara pengurangan berat badan yang lain.
Begitu juga bagi mereka yang mencapai BMI 35 dan menderita penyakit seperti diabetes kronik dan masalah jantung berkait dengan obesiti, turut disyorkan menjalani pembedahan itu.
Sharifa Ezat berkata, bagi mendapatkan pembedahan bariatrik, ia memerlukan beberapa penilaian dan ia akan hanya dibuat apabila diet serta senaman tidak memberi kesan kepada pesakit atau berat badan berlebihan hingga memerlukan pembedahan itu secara kecemasan.
Sungguh pun pembedahan bariatrik mempunyai kelebihan dalam merawat obesiti, tetapi ia juga mempunyai kemungkinan pesakit mendapat kesan sampingan selepas menjalani pembedahan tersebut.
“Bila kita lakukan pembedahan bariatrik ni, kita akan buat di bawah anestesi atau bius satu badan. Jadi, bila berada dalam prosedur tu, ia ada kesan sampingan akibat daripada bius berkenaan.
Sindrom lambakan
“Selain itu, ia juga mempunyai komplikasi selepas bedah. Antaranya adalah sindrom lambakan, maknanya kita boleh mengalami cirit birit, boleh menyebabkan muntah kerana makanan kita makan tidak di hadam disebabkan refluks asid. Tetapi komplikasi teruk ni jarang berlaku,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Sharifa Ezat turut berpendapat, pesakit perlu mendapatkan rujukan dan rawatan daripada pakar sahaja dan hanya melakukan pembedahan tersebut apabila rawatan senaman serta ubat untuk menguruskan badan tidak berkesan.
Sementara itu, Pakar Pembedahan Am, Upper GI dan Bariatrik Surgeri, Hospital UiTM Puncak Alam, Dr. Theevashini Krishnasamy berkata, proses proses buang sebahagian perut dan potong usus dilakukan bagi menaiktarafkan mutu kehidupan masyarakat.
Jelasnya, apabila seseorang pesakit mempunyai BMI melebihi 40 atau masalah berat badan melampau, ia akan menyukarkan pesakit menjalani kehidupan harian sekali gus mampu menyebabkan berlakunya penyakit kronik seperti sakit jantung dan barah.
Tambahnya, pembedahan bariatrik memerlukan sekitar satu hingga tiga jam, bergantung kepada prosedur pembedahan yang dilakukan dan kos untuk melakukan secara puratanya RM25,000 hingga RM35,000.
“Di hospital UiTM Puncak Alam kosnya dari RM7,000 hingga RM10,000. Manakala, di Pusat Pakar Swasta UiTM (UPSC) pula bermula RM15,000 ke RM17,000.
“Tetapi jika kita melakukan kiraan kepada kos ubat dan rawatan bagi penyakit sampingan sepanjang hayat akibat daripada masalah obesiti ni ia jauh lebih tinggi daripada kos pembedahan bariatik,” jelasnya.
“Ia bukan sahaja memberi kesan kepada penampilan tetapi juga kepada dalaman badan iaitu di mana pesakit sukar untuk bernafas, sentiasa berada dalam keadaan letih, sakit sendi khususnya di bahagian lutut hingga menyukarkan untuk berjalan malah turut menghadapi kemungkinan untuk menghidap penyakit barah. Jadi tanggungjawab kami di sini adalah untuk mengurangkan risiko-risiko itu,” katanya.
Tambahnya, pembedahan bariatrik memerlukan sekitar satu hingga tiga jam, bergantung kepada prosedur pembedahan yang dilakukan.- UTUSAN










