KUANTAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menekan butang jika tidak lagi berhasrat menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, ia langkah terbaik boleh dilakukan Muhyiddin dan Bersatu kerana Pakatan Harapan (PH) juga tidak lagi mahu bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri tersebut.
Jadi menurut beliau, terdapat dua kemungkinan berlaku jika Muhyiddin dan Bersatu menekan butang tersebut.
“Pertama, ia membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.
“Kedua, jika PH menyokong Ismail Sabri menerusi undi yang dibuat di Dewan Rakyat, Muhyiddin atau Perikatan Nasional (PN) akan jadi pembangkang.
“Kemungkinan juga, jika kerajaan pimpinan Ismail Sabri terus kekal, semua ahli Kabinet selepas PN menarik sokongan adalah daripada Barisan Nasional (BN),” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 8 Jun lalu antara lain membincangkan kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Sumber mendedahkan, perkara itu antara dua cadangan yang didakwa dinyatakan sendiri oleh kalangan pemimpin parti tersebut dalam mesyuarat berkenaan.
“Bersatu kata, kalau boleh nak (bincang) sekarang kedudukan Ismail Sabri. Sebab kalau Bersatu dapat sokongan daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH), mereka boleh tukar kerajaan Ismail Sabri tanpa adakan pilihan raya.
“Bagaimana caranya. Itu tidak disebut. Tetapi jika dikira secara logik, caranya adalah dengan menarik sokongan.
“Cuma sekarang ini Bersatu tak buat lagi sebab kalau Ismail Sabri jatuh, tidak tahu siapa yang akan naik. Jadi parti itu tidak mahu perkara itu berlaku. Sebab Bersatu memang ada niat untuk memegang kembali jawatan Perdana Menteri,” dakwa sumber berkenaan kelmarin. – UTUSAN