Dua kereta bertembung: Seorang maut, tiga cedera - Utusan Malaysia

Dua kereta bertembung: Seorang maut, tiga cedera

ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam sebuah kereta selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Selarong Panjang-Sedim, Kulim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang lelaki maut dan tiga cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Selarong Panjang-Sedim di sini malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu, mangsa berusia 25 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga Aeroback maut di tempat kejadian selepas cedera parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, rakan mangsa berusia 24 tahun yang menumpang kereta pula cedera parah di kepala.

Menurutnya, kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Sedim di sini.

Bagaimanapun katanya, kereta tersebut bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki oleh dua lelaki, berusia 28 dan 29 tahun.

“Kemalangan berlaku apabila Proton Wira yang datang dari Sedim ke Kulim dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu mangsa,,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Redzuan berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba, namun pegawai perubatan mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian.

Sementara itu, pemandu kereta Proton Wira pula mengalami kecederaan parah di kepala manakala penumpangnya cedera di kaki.

“Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut. Mayat mangsa pula dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat,” jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN