Datuk dalang seludup diesel ditahan - Utusan Malaysia

Datuk dalang seludup diesel ditahan

KAMARUL Zaman Mamat (dua dari kanan) melihat peralatan yang digunakan dalam penyeludupan minyak diesel dalan Op Bersepadu Kontraban di kawasan Perindustrian Desa Plentong Masai, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki bergelar Datuk ditahan kerana disyaki menjadi dalang sindiket penyeludupan sebanyak 95,000 liter diesel bernilai RM522,500.

Lelaki tempatan berusia 46 tahun itu ditahan susulan operasi khas dijalankan Polis Johor dan Bukit Aman di sebuah stor di Kawasan Perindustrian Desa Plentong, Masai, pukul 11 malam semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam operasi itu seramai 28 individu termasuk seorang lelaki warga asing berusia antara 22 hingga 46 tahun ditahan.

“Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan minyak diesel yang dipercayai terbesar setakat ini hasil serbuan khas yang dijalankan itu. Hasil operasi, pihak kita berjaya merampas 95,000 liter bernilai RM522,500 minyak diesel selain 27 buah lori serta wang tunai sebanyak RM12,507 dan nilai keseluruhan rampasan adalah RM3.01 juta,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, hasil risikan juga mendapati sindiket itu baharu sahaja beroperasi sejak sebulan lalu.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan sindiket adalah mengubah suai pelbagai jenis lori termasuk lori pasir 10 tan.

Sindiket memasang tangki simpanan yang ditutup dengan kanvas bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Tangki ini diubah suai, mereka pasang dan letak di bahagian belakang lori. Mereka juga licik pasang pam dekat tangki minyak lori, minyak mereka isi masuk tangki biasa. Dari tangki lori itu, mereka pasang paip untuk disalurkan ke dalam tangki,” katanya sambil menambah bahawa sindiket itu membeli minyak diesel bersubsidi dengan harga RM2.05 satu liter di stesen-stesen minyak di sekitar Johor Bahru.

“Mereka kemudiannya membawa ke stor simpanan untuk dikumpulkan sebelum diseludup ke negara jiran. Sindiket ini disyaki menggunakan laluan laut untuk menyeludup diesel berkenaan. Polis percaya masih ada saki-baki sindiket yang bebas, kita akan kesan mereka. Kita akan siasat sama ada pihak berkuasa yang menjadi pembelot dalam aktiviti penyeludupan ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya