Ceramah, mengajar agama perlu tauliah

Ceramah, mengajar agama perlu tauliah

MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Semua pihak yang ingin menganjurkan ceramah atau mengajar agama di mana-mana tempat di negeri ini wajib mendapat tauliah atau memiliki permit yang sah yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Tauliah adalah kelulusan yang membolehkan individu tertentu menyampaikan syarahan agama, sekali pun individu terbabit berpengajian tinggi atau berpangkat tinggi dalam sesuatu organisasi.

Berkongsi pandangan dengan Utusan Malaysia, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, tauliah dikeluarkan bertujuan menjaga penyelewengan dan mengelakkan kecelaruan dalam masyarakat berhubung pelbagai isu yang berkaitan dengan agama.

Menurutnya, tauliah juga adalah satu pengiktirafan pihak berkuasa agama negeri yang sememangnya dilaksanakan di seluruh negara mengikut prosedur dan bidang kuasa yang telah dimandatkan.

“Tauliah juga membawa maksud perlantikan. Hakim, duta, mufti, imam dan sebagainya perlukan perlantikan terlebih dahulu sebelum menggalas tanggungjawab dan melaksanakan tugasan.

“Saya selaku Mufti Kelantan sebelum memulakan ceramah secara dalam talian kepada rakyat negeri Selangor pun mendapatkan tauliah dan kebenaran pihak berkuasa agama negeri berkenaan terlebih dahulu sebelum berceramah secara maya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu sekatan berceramah terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin  yang menyatakan kesal dengan tindakan sekumpulan anak muda didakwa didalangi pihak tertentu yang membuat provokasi dalam sebuah majlis ramah mesra dan jamuan yang dihadirinya di Taman Aulia, Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, provokasi tidak melibatkan pembabitan agensi agama di negeri ini yang hanya lebih fokus kepada kebenaran dan tauliah berasaskan prosedur yang telah dilaksanakan di negeri ini.

Menurutnya, mana-mana negeri pun menitikberatkan permit kebenaran serta tauliah sebelum dibenarkan mengajar atau berceramah bagi memudahkan pemantauan dan pelbagai tindakan susulan sekiranya wujud isu yang berbangkit.

“Saya bagi contoh, Pengarah Pelajaran Malaysia di Kementerian Pendidikan teringin masuk ke kelas dan mengajar di sebuah sekolah di Kota Bharu, dia terlebih dahulu memaklumkan kepada Pengarah Pelajaran Negeri yang perlu memaklumkan kepada Pengetua sekolah berkenaan yang pastinya membolehkan pengajaran oleh Pengarah Pelajaran Malaysia berlangsung tanpa masalah.

“Ini dinamakan tatatertib dan ada kod etika. Kelantan ada tuan rumahnya. Ia tidak menjadi isu sekiranya perjalanan majlis mengikut prosedur sebagaimana lazimnya,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, pihaknya tiada sekatan terhadap Mohd Asri untuk berceramah di negeri ini sekiranya beliau memohon kebenaran berceramah terlebih awal.

Menurutnya, tidak ada isu berbangkit selepas perundingan diadakan dengan penyelesaian terbaik. 

“Forum yang dirancangkan  telah diubah kepada majlis ramah mesra. Prosedur kebenaran dan tauliah perlu dipatuhi. Nak masuk boleh, memang tiada halangan tetapi perlu membuat permohonan terlebih dahulu. Semua negeri melaksanakan prosedur seumpama ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN