GEORGETOWN: Kementerian Kesihatan digesa mencari langkah yang lebih sesuai bagi menangani isu kekurangan bekalan ubat seperti ubat batuk, selesema, ubat tahan sakit, ubat anti radang dan lain-lain yang didakwa kehabisan stok di pasaran.
Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong berkata, pihaknya juga mempersoal keberkesanan cadangan kementerian untuk membenarkan fasiliti kesihatan swasta memohon pinjaman bekalan ubat-ubatan dari fasiliti kesihatan swasta lain atau fasiliti kesihatan kerajaan susulan masalah kekurangan bekalan ubat yang berlaku.
”Isu kekurangan bekalan ubat bukan sekadar dihadapi fasiliti kesihatan swasta, malah hospital kerajaan, farmasi, klinik dan fasiliti kesihatan yang lain turut berdepan dengan masalah ini.
”Kita difahamkan ubat-ubatan yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran seperti ubat batuk, ubat selesema, ubat tahan sakit, ubat anti radang dan lain-lain lagi kini kehabisan stok,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengumumkan telah mengambil beberapa langkah penyelesaian sementara bagi mengatasi isu kekurangan bekalan ubat-ubatan di klinik dan hospital swasta serta farmasi komuniti dalam negara.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan berkata, fasiliti kesihatan swasta boleh memohon pinjaman bekalan ubat-ubatan daripada fasiliti kesihatan swasta yang lain atau fasiliti kesihatan kerajaan yang terdekat.
Menurut Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, kekurangan bahan mentah merupakan antara puca utama yang menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan ubat di negara ini.
”Ini telah menyebabkan pengilang farmasi tempatan tidak dapat membekalkan ubat-ubatan mereka mengikut jadual.
”Dengan itu, kerajaan disarankan memberi pertimbangan untuk mengimport bahan mentah atau ubat alternatif dari negara yang berbeza bagi menangani isu kekurangan ubat,” katanya.
Tambahnya, kerajaan harus memberi perhatian serius berhubung isu itu kerana ia membabitkan keselamatan rakyat sekali gus perlu diselesaikan secepat mungkin. – UTUSAN