Budak 2 tahun sukar tidur malam derita sakit kulit kronik

Budak 2 tahun sukar tidur malam derita sakit kulit kronik

ZULNAZMI Che Ismail dan Fatin Suhana Mohd. Zamri bersama Muhammad Izzat Rafael yang menghidap penyakit kulit kronik di Kampung Keda Batu 13, Pokok Sena, Kedah. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun menderita sakit kulit kronik sehingga seluruh anggota badannya kemerahan dan kulit mengelupas.

Muhammad Izzat Rafael Zulnazmi yang menghidap penyakit kulit, Psoriasis Pustular akan berasa gatal terutama ketika cuaca panas dan tidak dapat tidur pada waktu malam.

Ibunya, Fatin Suhana Mohd. Zamri, 26, berkata, penyakit kulit tersebut dikesan pada anak kedua daripada dua beradik itu sejak berusia sebulan.

“Anak saya itu tidak boleh cuaca panas kerana cepat berpeluh. Bila berpeluh badannya menjadi kemerah-merahan dan kulit jadi keras serta mudah berdarah.

“Setiap hari seluruh badan anak saya perlu disapu pelembab bagi mengelakkan kulit menjadi kering,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Keda Batu 13, di sini, semalam.

Fatin Suhana berkata, doktor menjelaskan penyakit kulit Muhammad Izzat Rafael adalah penyakit genetik, namun tiada dalam kalangan keluarganya yang mengalami masalah tersebut.

Menurutnya, anak sulungnya, Muhammad Izz Rayyan Zulnazmi, 5, pula tidak mengalami masalah kulit tersebut.

“Pelbagai jenis rawatan dilakukan termasuk rawatan Islam dan tradisional, namun masalah kulit anak saya masih tidak sembuh,” ujarnya.

Katanya, anaknya itu kini bergantung kepada ubat dan pelembab yang diambil di klinik swasta dengan kos kira-kira RM500 sebulan.

Tambahnya, kos tersebut membebankan suaminya, Zulnazmi Che Ismail, 28, yang bekerja sebagai pesawah dengan pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan.

“Pada masa ini, kami terpaksa mengutamakan pembelanjaan menampung kos rawatan Muhammad Izzat Rafael,” katanya.

Mereka yang ingin membantu keluarga Muhammad Izzat Rafael boleh menghubungi Fatin Suhana di talian 013-706 6858 atau menyalurkan bantuan di nombor akaun 02075025180486 (Bank Islam). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN