KOTA KINABALU: Seorang wanita berhadapan detik cemas apabila terpaksa bersalin di dalam kenderaan sebelum sempat tiba di hospital berhampiran.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu, mangsa berusia 39 tahun itu bersalin dalam sebuah kenderaan di hadapan sebuah kedai di Jalan Lintas.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara berkata, selepas menerima panggilan kecemasan mengenai insiden wanita bersalin dalam kenderaan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati seorang wanita bersalin sendiri dalam kereta Perodua Viva. Pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bertindak membantu mengikat tali pusat bayi.
“Kemudian mangsa dikeluarkan daripada kenderaan setelah anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selesai memotong tali pusat bayi yang dilahirkan.
“Mangsa dipindahkan ke ambulans dan dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak daerah untuk rawatan susulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selepas memeriksa bahawa tiada lagi bahaya yang wujud di lokasi, operasi ditamatkan pada pukul 2.10 petang. – UTUSAN