Berselindung di sebalik bengkel besi dan kayu untuk edar dadah - Utusan Malaysia

Berselindung di sebalik bengkel besi dan kayu untuk edar dadah

DUA lelaki yang berselindung disebalik perniagaan bengkel besi dan kayu untuk mengedar dadah ditahan di Jalan Syed Alwi, Batu 1, Kangar, Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Berselindung di sebalik perniagaan bengkel besi dan kayu bagi menjalankan urusan jual beli dadah sejak empat bulan lalu.

Bagaimanapun, aktiviti tersebut terbongkar apabila polis menahan dua lelaki di Jalan Syed Alwi, Batu, 1 di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kedua-dua lelaki tersebut yang berusia 42 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang.

Beliau berkata, pihaknya berjaya merampas dadah disyaki ganja seberat 236.88 gram bernilai RM630.

“Siasatan mendapati seorang daripada suspek adalah pemilik bengkel manakala seorang lagi bekerja di situ. Mereka menjalankan urusan jual beli dadah kepada penagih tempatan yang datang untuk mendapatkan bekalan.

“Kegiatan ini dipercayai sudah aktif antara tiga hingga empat bulan lalu. Semasa serbuan, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh anggota yang bertugas,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif methamphetamine dan ganja.

Tambahnya, seorang daripada suspek juga mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah.

“Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya