MELAKA: Penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dianggap sebagai ikon dakwah dan beraliran sederhana serta tiada unsur kepartian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berkata, pengajaran beliau juga selari dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah Al-Asya’irah Wal Maturidiyyah iaitu selaras dengan Enakmen Majlis Agama Negeri Melaka.
Justeru katanya, kebenaran khas daripada Jabatan Mufti Melaka yang membolehkan UAI berceramah juga amat dihargai dan disifatkan tepat pada masanya.
“Bagi pihak Pas amat mengalu-alukan kehadiran UAI ke Melaka dan tahniah juga kepada pihak penganjur yang dapat menjayakan majlis tersebut.
“Ada pun kebenaran daripada pihak Jabatan Mufti amat saya hargai dan tepat pada masanya memandangkan situasi negara telah berpindah (bertukar) kepada endemik, jadi tiada halangan dalam penganjuran ceramah mega tersebut.
“Saya harap seluruh lapisan masyarakat dapat menghadirkan diri pada malam itu nanti serta patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak penganjur,” katanya yang juga bekas Penasihat Agama kepada Ketua Menteri.
UAI akan menyampaikan ceramah di Masjid Al-Wahhab, Permata Duyong di sini hari ini selepas solat Maghrib.
Terdahulu, berdasarkan surat kebenaran dikeluarkan Jabatan Mufti Melaka bertarikh 10 Jun 2022 kepada Pengerusi Masjid Al-Wahhab jelas menyebut bahawa UAI bukan pemegang sijil tauliah mengajar yang dikeluarkan badan itu.
Bagaimanapun, setelah meneliti dan mempertimbangkan permohonan, jabatan itu bersetuju memberikan kebenaran khas kepada penceramah berkenaan. – UTUSAN