PETALING JAYA: Isu pemberian subsidi dedak dan tenaga kerja yang membelenggu penternak perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi memastikan bekalan ayam sentiasa berterusan.
Pengerusi Persatuan Penternak Manjung, Tan Wooi Perng berkata, kerajaan perlu memainkan peranan dengan membantu mengurangkan bebanan mereka seperti memberikan subsidi dedak ayam atau memastikan kos pembeliannya tidak mengalami peningkatan lagi.
“Saya tidak pasti di negeri lain berapa kuantiti mereka ternak tetapi di sini kami sebagai penternak tidak putus membela ayam dan tidak pernah tutup. Hanya ada rehat sehari dua kerana masalah ketiadaan pekerja.
“Jadi selain memberi subsidi dedak ayam bagi memastikan harga ayam itu tidak meningkat, pekerja-pekerja asing juga perlu cepat dibawa masuk kerana kini banyak reban tiada tenaga kerja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memberi jaminan isu berkaitan bekalan ayam di negara ini akan selesai hasil beberapa pendekatan termasuk libat urus antara Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee dan bersama pihak berkaitan di lapangan.
Ini susulan terdapat dakwaan sekumpulan kartel industri ternakan ayam didakwa merancang menutup ladang ternakan pada bulan lepas sebagai protes kepada kerajaan yang dikatakan lambat melakukan bayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.
Ia turut dipercayai komplot syarikat-syarikat peladang menutup ladang mereka sehingga menjejaskan bekalan ayam mentah di pasaran adalah cubaan pertama kumpulan ‘tangan hitam’ itu menuntut harga siling dinaikkan kepada RM9.90 sekilogram.
Wooi Perng berkata, JPV sudah banyak membantu penternak-penternak dari segi dokumentasi supaya ia lengkap dan tidak mendatangkan masalah kepada kumpulan tersebut.
“Sekarang ni kerajaan banyak membantu, mana dokumen-dokumen yang salah atau tidak lengkap mereka akan maklumkan pada kami untuk melakukan pembetulan. Mereka tak menyusahkan kan kita tetapi sebaliknya beri tunjur ajar sehingga selesai,” ujarnya. – UTUSAN










