Apa nasib Stadium Shah Alam? - Utusan Malaysia

Apa nasib Stadium Shah Alam?

Stadium Shah Alam
STADIUM Shah Alam pada zaman ‘kegemilangannya’ digunakan untuk kejohanan Piala Asia 2007 tetapi ia bakal diroboh dan digantikan dengan stadium yang lebih kecil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bayang-bayang kerja menaik taraf dan membaiki Stadium Shah Alam masih belum kelihatan walaupun kerajaan negeri pada tahun lalu mengumumkan bangunan ikonik itu akan menjalani proses baik pulih bermula tahun ini.

Situasi itu dilihat berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia semalam apabila mendapati keadaan stadium yang dibuka pada 1994 itu kelihatan usang dan terbiar sementara keadaan bumbungnya pula rosak dan kesan banjir besar pada Disember tahun lalu masih kelihatan.

Keadaan itu langsung tidak menggambarkan stadium tersebut pernah menjadi lokasi perlawanan-perlawanan penting dalam sukan bola sepak sama ada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa termasuk persahabatan antara Malaysia dengan Chelsea pada Julai 2008 dan Arsenal pada Julai 2011.

Menurut bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd. Khir Toyo, Stadium Shah Alam dikatakan mula mengalami masalah untuk diselenggara selepas PKR mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri apabila peruntukan penyelenggaraannya dipotong.

“Saya tidak ingat dahulu, tetapi setahu saya kos selenggara tidaklah terlalu mahal. Cuma seingat saya, selepas Tan Sri Khalid Ibrahim ambil alih kerajaan negeri (2008), peruntukan untuk stadium dipotong. Bukan itu sahaja, peruntukan untuk masjid negeri pun dipotong.

“Belanja tidak terlalu besar sebab perlu selenggara sahaja. Kita pernah buat padang baharu akibat rosak selepas banyak program dibuat di sana, itu agak mahal sedikit sekitar RM2 juta dibelanjakan. Kita betulkan balik struktur, sistem saliran dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menambah, ketika Barisan Nasional (BN) menerajui negeri penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar itu, menyediakan peruntukan secara tahunan untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan yang dibuat oleh kontraktor dilantik sepanjang tahun.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dilapor memaklumkan kerja-kerja pemulihan stadium itu akan bermula pada tahun ini apabila mendapat kelulusan daripada Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).

Malah beliau pernah mengumumkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Ogos tahun lalu, stadium yang terletak di Seksyen 13 itu bakal menjadi Bandar Sukan Selangor menjelang 2024.

Bagaimanapun, pada Oktober tahun lalu, Amirudin memberitahu kerja membaik pulih stadium berkenaan dijangka menelan belanja sehingga RM350 juta berdasarkan penilaian daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dalam pada itu, Khir yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang memberitahu, keadaan stadium kini amat menyedihkan.

“Kita rasa sedih cara kerajaan negeri menguruskan Stadium Shah Alam, bumbung pun habis nak runtuh, dengan padang tak terjaga. Saya haraplah kerajaan Selangor ambil berat tentang projek yang kita sudah buat, cuma selenggara sahaja. Kita dahulu boleh buat, takkan sekarang tak boleh.

“Sejak PKR ambil alih Selangor, kerajaan negeri terus tak jaga stadium tersebut. Masa saya jadi Menteri Besar, sampai 2008 stadium tersebut baik, tiada masalah. Kita pernah uruskan (stadium) sampai boleh jadi tempat perlawanan antarabangsa di Shah Alam,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya