Apa kaitan himpunan aman dengan ajakan perang? - Sheikh Umar

Apa kaitan himpunan aman dengan ajakan perang? – Sheikh Umar

SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali membidas kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengaitkan ajakan mengadakan perhimpunan aman dengan ajakan berperang.

Sheikh Umar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata, Onn Hafiz juga telah tersalah tafsir dengan menggunakan nas al-Quran sesuka hati tanpa melihat teks dan konteksnya. 

Katanya, sikap sedemikian boleh mengundang kekeliruan dalam tindakan keganasan dalam kalangan umat Islam.

“Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam (kelmarin) ada menyebut berkaitan himpunan protes kenaikan harga barang yang saya sentuh sebelum ini.

“Dalam ucapan penggulungan pada sidang DUN Johor itu, Onn Hafiz memetik beliau dan 39 ADUN Barisan Nasional (BN) Johor tidak akan gentar, lelah dan mengalah dalam menentang dan melawan habis-habisan setiap tohmahan dan fitnah yang dilemparkan. Onn Hafiz memetik terjemahan ayat 193 dari surah Al-Baqarah ‘dan perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah dan yang tinggal hanyalah agama Allah’.

“Saya tak faham apa kaitannya antara suatu himpunan aman yang dijamin oleh perlembagaan kita dengan ayat 193 surah Al-Baqarah kerana latar belakang bagi ayat 193 surah Al-Baqarah jauh berbeza,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.


Onn Hafiz semasa sesi penggulungan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar.

Tambahnya, sebab ayat 193 itu diturunkan ialah berkaitan Perjanjian Hudaibiyah, iaitu apabila Nabi Muhammad serta kaum muslimin dihalang oleh kaum Quraisy untuk memasuki Masjidil Haram. 

“Menerusi perjanjian, kaum muslimin akan menunaikan umrah pada tahun berikutnya. Disebabkan para sahabat khuatir janji ini dimungkiri, sedang kaum muslimin pula tidak dibenarkan berperang pada bulan-bulan haram, maka ayat 190 hingga 193 dari surah Al-Baqarah pun diturunkan.

“‘Dan perangilah mereka hingga tidak berlaku fitnah dan yang tinggal hanyalah agama Allah’. Ayat ini memberikan isyarat bahawa kaum muslimin boleh membuat serangan balas jika mereka mula diserang meskipun pada bulan-bulan haram (bulan-bulan yang dilarang berperang dalam Islam).

“Saya harap Onn Hafiz fikir baik-baik. Bagi saya, ini lebih dari sekadar politik. Ada ilmu dan disiplinnya bila mahu gunakan nas-nas agama. Kita tidak mahu nanti rakyat menilai agama dengan neraca yang salah. Lebih daripada itu, kita tak mahu rakyat melihat kita menunggang agama pula,” ujarnya.

Baru-baru ini, Sheikh Umar mengeluarkan kenyataan mengajak rakyat berhimpun beramai-ramai sebagai tanda protes susulan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Pada 24 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa tindakan mengadakan perhimpunan jalanan sebagaimana dicadang pemimpin DAP itu bukannya cara bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian yang membina.

Sultan Ibrahim bertitah, sebaliknya suara atau pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat boleh disampaikan kepada kerajaan menerusi pelbagai forum lain. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya