Akta bankrap dikaji semula - PM - Utusan Malaysia

Akta bankrap dikaji semula – PM

ISMAIL Sabri Yaakob (tiga kanan) bersama Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (tiga kiri) melakukan gimik perasmian penutupan Karnival Kerjaya BN Youth Job Fair di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akta Insolvensi 1967 akan diperhalusi semula bagi mengelakkan lebih ramai individu diisytiharkan muflis pada masa akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, undang-undang itu menjadi perhatiannya setelah dimaklumkan sejumlah 60 peratus individu muflis di negara ini terdiri daripada golongan belia hasil Laporan Pantauan Ekonomi oleh Bank Dunia.

Ini meskipun kerajaan pernah menaikkan nilai ambang (minimum treshold) daripada RM50,000 ke RM100,000 yang berkuatkuasa sehingga 31 Ogos tahun lalu.

“Soal muflis dan kebangkrapan dalam golongan muda dan belia ini, saya juga bimbang dengan jumlah yang ada ketika ini, ia mungkin akan terus melonjak naik.

“Kerajaan pernah menaikkan treshold dan pernah menangguhkan tindakan undang-undang melibatkan kebankrapan tetapi kini ia telah diturunkan semula, jadi saya juga bimbang.

“Oleh itu, saya akan berbincang dengan menteri undang-undang supaya kita dapat melihat semula akta ini. Saya juga akan berjumpa dengan gabenor Bank Negara untuk kita melihat dari segi undang-undang supaya ia dapat ditangguhkan lagi atau sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Karnival Kerjaya Belia anjuran Barisan Nasional (BN).

Pengumuman itu dibuat selepas Ketua Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam majlis yang sama meminta kerajaan supaya mengkaji semula undang-undang berkaitan kebankrapan.

“Pada 27 Sept 2021, Perdana Menteri telah mengesahkan di Parlimen bahawa seramai 10,317 individu telah diisytihar muflis dan 1,246 perniagaan gulung tikar sepanjang bulan Mac 2020 hingga Julai tahun lepas.

“Tapi kalau ikut statistik hingga 31 Disember 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi, sebanyak 289,766 kes sedang ditadbir (dalam proses kebankrapan),” katanya.

Justeru, katanya, sudah tiba masa kerajaan meminda elemen-elemen yang dianggap arkaik atau usang dan memperkenalkan elemen yang lebih progresif dan moden.

“Seperti di negara-negara Eropah termasuk Amerika Syarikat (AS), undang-undang mereka membolehkan seseorang itu diisytiharkan muflis sejurus selepas penghutang tersebut melalui proses pencairan aset untuk dibayar kepada pemiutang. Ini bermakna baki hutang tertunggak tidak perlu dibayar oleh pemiutang.

“Tetapi di bawah akta bankrap negara ini, tiada had tempoh seseorang yang muflis untuk keluar daripada status kebankrapan melainkan sudah melunaskan semua hutang kepada pemiutang atau mendapat pelepasan ketua pengarah Jabatan Insolvensi.

“Ketiadaan had tempoh ini menyebabkan ada anak muda yang putus asa untuk meneruskan kehidupan dan menjejaskan kesihatan mental. Sebab itu, mungkin ada baiknya, Perdana Menteri mengambil kira suara hati anak muda yang diluahkan kepada kami,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya