fbpx

Ajar solat dari kecil

PERKARA utama yang wajib ditekankan setiap ibu bapa dalam mendidik anak-anak adalah disiplin mendirikan solat lima waktu. Solat adalah wajib dilaksanakan setiap umat Islam kerana amalan fardu ini bukan hanya sebagai tiang agama tetapi berupaya menghindari perbuatan keji dan mungkar.
Berkongsi pandangan bersama Mingguan Malaysia, Imam Muda Masjid At-Taqwa Cherang Ruku, Ustaz Mohamad Anuar Mamat, berkata, penekanan yang tegas pelaksanaan solat terhadap anak-anak bermula seawal tujuh tahun.
Menurutnya, anak-anak akan mengikuti amalan yang dilakukan ibu bapa manakala ibu bapa pula memantapkan ilmu yang berkaitan.
“Hadis yang diriwayatkan Imam al- Bukhari daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: ‘Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah), maka ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.
“Ia membawa maksud ibu bapa adalah insan pertama yang mencorak anak masing-masing untuk taat kepada perintah agama,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Mohamad Anuar, Islam adalah agama yang sangat sempurna, sering mementingkan pertumbuhan generasi remaja yang baik dan berakhlak yang menuntut pendidikan yang sempurna.
Katanya, Rasulullah SAW menganjurkan bimbingan anak bermula dari saat dilahirkan.
“Perkara utama yang perlu diterapkan kepada anak-anak adalah cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
“Justeru, ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya menyemai, mengasuh dan membimbing anak-anak supaya mencintai Allah dan Rasul-Nya mengatasi cinta kepada makhluk lain,” ujarnya.
Mohamad Anuar berkata, sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:“Tidak sempurna iman seseorang itu sehinggalah aku lebih dikasihi berbanding ayahnya dan anaknya dan seluruh umat manusia”. (Riwayat al-Bukhari)
Menurutnya, Islam juga menggariskan agar ibu bapa memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan.
“Ia juga pendidikan awal yang perlu diterapkan terhadap anak-anak supaya tidak mengundang kepada perbuatan maksiat dan sumbang mahram,” ujarnya.
Penegasan ini, katanya, terkandung dalam hadis Rasullulah SAW yang diriwayatkan daripada datuk kepada Amru bin Syuaib RA yang bermaksud,-
Suruhlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur 10 tahun serta pisahkan tempat tidur mereka antara lelaki dan perempuan”. (Riwayat Abu Daud).
Mohamad Anuar berkata, ibu bapa juga amat digalakkan mendidik anak-anak dengan melakukan ibadah secara berjemaah, mempelajari dan membaca al-Quran, melazimkan doa dan wirid- wirid harian agar dapat melahirkan perasaan kasih sayang, keberkatan dan ketenangan hidup.
Jelasnya, ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak berada di dalam rumah pada waktu malam khususnya waktu Maghrib dengan diisi aktiviti-aktiviti ibadah agar dapat membendung anak-anak daripada terdedah dan terpengaruh dengan gejala-gejala sosial yang boleh merosakkan akhlak dan membelakangkan petunjuk Allah SWT.
Daripada Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan lepaskan haiwan ternakan dan anak-anak kamu apabila matahari terbenam hingga berlalunya awal waktu Isyak, kerana syaitan akan bertebaran apabila matahari terbenam sehingga berlalunya awal waktu Isyak”. (Riwayat Muslim).

Ustaz Mohamad Anuar Mamat
» Umur:33 tahun
» Asal: Kampung Sepulau, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan
» Sejarah pendidikan:
 Sekolah Menengah Ugama Nurul Falah Cherang Ruku, Kelantan.
 Maahad Saniah Pasir Puteh, Kelantan.
 Pusat Pengajian Pondok moden, Yayasan Islam Kelantan, Bachok.
 Ribat Fattah, Seiyun, Hadral maut, Yaman.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!