IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat membuat keputusan terbaik mengenai pengganti Datuk Zuraida Kamaruddin dalam Kabinet selepas Ahli Parlimen Ampang itu mengumumkan keluar daripada Bersatu.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, setakat ini beliau tiada maklumat mengenai pengganti Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
“Mengenai pengganti Zuraida, saya tak tahu namun beliau masih anggota Kabinet.
“Saya yakin Perdana Menteri tentunya akan dapat satu keputusan yang terbaik untuk negara kerana yang penting kita menjaga kestabilan kerajaan.
“Ini kerana hari ini ada banyak masalah yang semua orang tahu seperti harga makanan, kos sara hidup dan sebagainya.
“Fokus kepada perkara-perkara yang memberi keselesaan kepada rakyat bukan terlalu fokus kepada perkara yang boleh merunsingkan rakyat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Malaysia Sports League (MSL) Peringkat Daerah Kinta di sini hari ini.
Keputusan Zuraida keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyebabkan timbul konflik siapa lebih berhak untuk menentukan pengganti beliau untuk jawatan dalam Kabinet.
Bersatu mendakwa parti itu berhak untuk menentukan pengganti Zuraida selepas keluar daripada parti itu.
Namun UMNO mendakwa pelantikan ahli Kabinet adalah hak mutlak Perdana Menteri.
Mengenai perkara itu, sebelum ini Perdana Menteri berkata, status Ahli Parlimen Ampang itu sebagai menteri dalam Kabinet masih kekal sehinggalah ia diputuskan sebaliknya oleh beliau.
Menurut Ismail Sabri, Zuraida masih boleh menghadiri mesyuarat Kabinet memandangkan dia tidak meletakkan jawatan sebagai menteri dalam Kabinet dan tidak dipecat oleh Perdana Menteri. – UTUSAN










