Agamawan disaran elak berbalah dalam media sosial - Utusan Malaysia

Agamawan disaran elak berbalah dalam media sosial

MUHAMAD ZUHAILI SAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua agamawan di negara ini diminta mencari titik persamaan dalam sesuatu isu perbahasan agar tidak timbul polemik yang membawa kepada perbalahan dalam kalangan mereka.

Presiden Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (Ilmam Malaysia), Dr. Muhamad Zuhaili Saiman berkata,  ruangan media sosial sepatutnya menjadi platform untuk dimanfaatkan peluang memberikan penerangan secara ilmiah serta bersesuaian dengan tahap pemikiran pembaca secara umum.

Katanya, ia bertujuan memastikan apa yang disampaikan difahami dengan jelas dan baik menurut neraca syarak serta bertepatan dengan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Fahaman ekstrem yang bermudah-mudah menyesatkan apatah lagi mensyirikkan pihak lain dalam perkara khilafiyyah adalah satu fahaman yang perlu dibendung kerana ia boleh mengeruhkan keadaan. 

“Dalam isu justifikasi bidaah pula, para agamawan perlu cermat kerana perbahasan hal-hal sedemikian adalah dalam perkara furuk yang tidak boleh dihukumkan sebagai bidaah secara membuta tuli. 

“Apa yang perlu dilakukan oleh agamawan ialah meluruskan kefahaman dengan panduan pengurusan khilaf di samping meraikan uruf tempatan yang tidak bercanggah dengan syariat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, reaksi di media sosial yang saling menyerang antara satu sama lain menunjukkan suasana tidak elok, malah merugikan ummah. 

Katanya, masyarakat yang menjadi pengikut para asatizah dalam memberikan sesuatu pandangan yang dibawa akan menjurus kepada pergaduhan dan perpecahan ummah.

“Para agamawan perlu bijak menyesuaikan perbahasan dalam menyampaikan sesuatu topik berdasarkan kategori hadirin yang mendengar.

“Bukan semua perkara perbahasan yang melibatkan kemahiran asas pendalilan perlu terbuka secara umum kerana mengakibatkan campur tangan pihak tidak berautoriti dalam memberikan pandangan tanpa disiplin ilmu yang benar,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN