50 tahun MADA, warga kerja tulang belakang kejayaan

50 tahun MADA, warga kerja tulang belakang kejayaan

NOR Azizi Baharom (kanan) menerima Anugerah Khas Pendaftar 2021 daripada Kamarudin Dahuli pada Majlis Malam Segantang Budi sempena Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kakitangan PPK MADA di Alor Setar, Kedah. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pada 1966 iaitu kira-kira dua tahun sebelum tertubuhnya Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), kadar kemiskinan penduduk di kawasan itu dianggarkan mencecah ke paras 72 peratus.

Namun selepas 50 tahun berlalu, keadaan sudah terlalu jauh berubah. Angka yang dulunya besar sehingga menampakkan kemiskinan itu seolah-olah amat sinonim dengan petani, kini sudah ‘mengecut’ hingga ke paras kurang satu peratus.

Dalam membicarakan mengenai pencapaian itu, sudah tentu peranan 27 PPK dalam kawasan MADA di Kedah dan Perlis ‘wajib’ diperkatakan.

Sebagai frontliners atau petugas barisan depan yang sentiasa mendampingi golongan peladang bagi berdepan sebarang isu berkaitan, peranan dimainkan petugas warga PPK tersebut tidak seharusnya diketepikan.

Maka wajarlah seramai 388 pegawai serta kakitangan PPK berkenaan diraikan buat kali pertama dalam Majlis Segantang Budi sempena Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kakitangan PPK MADA yang mendapat kerjasama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Advansia Sdn. Bhd. di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, kakitangan termasuk pembantu tadbir, pekerja am, pemandu dan penyelenggara stor turut dikejutkan dengan anugerah-anugerah yang julung kali diadakan bagi menghargai penat lelah serta pengorbanan mereka dalam memacu peladang menjadi lebih progresif serta berdaya saing.

Penerima Anugerah Khas Pendaftar 2021, Nor Azizi Baharom, 57, berkata, dia sangat menyanjung usaha semua pihak yang menjayakan majlis tersebut kerana ini adalah julung-julung kalinya kakitangan di PPK dalam kawasan MADA diraikan sebegitu rupa.

Pembantu tadbir di PPK MADA B1 Kayang, Perlis itu berkata, dia langsung tidak menyangka dihargai sedemikian setelah lebih 31 tahun berkhidmat.

“Jujurnya saya tak sangka dan terkejut kerana dihargai sebegini rupa. Sepanjang 31 tahun berkhidmat, kami tak mengharapkan balasan berlebihan kerana niatnya hanyalah untuk mencari rezeki.

“Tetapi apabila ada usaha pihak atasan menghargai kami, saya rasakan usaha dilakukan ini memang terbaik. Saya berterima kasih kepada PPK MADA yang menunjukkan penghargaan kepada kami,” katanya yang turut menerima anugerah Pembantu Tadbir Projek Kontrak Terbaik dan Anugerah Setia PPK.

Majlis tersebut disempurnakan perasmiannya oleh Wakil Pendaftar PPK MADA, Kamarudin Dahuli yang juga Pengurus Besar MADA. Terdapat lebih 10 anugerah disampaikan pada majlis itu antaranya juruwang terbaik, pembantu tadbir akaun terbaik, pemandu terbaik, pekerja am terbaik dan pembantu tadbir akaun terbaik.

Bagi penerima Anugerah Penyelenggara Stor Terbaik, Mohd. Razif Abd. Rashid, 38, penganjuran acara seperti itu bagi jelas membuktikan betapa PPK MADA sama sekali tidak melupakan kalangan pekerja yang menyumbang bakti demi kebajikan petani.

“Bekerja di PPK ini banyak cabarannya kerana kita berdepan dengan pelbagai ragam manusia serta isu dibangkitkan. Namun seronoknya tetap ada terutama sekali apabila kita berjaya membantu golongan petani terutama mereka yang berusia mengatasi masalah masing-masing.

“Anugerah ini menjadi pemangkin semangat kepada kami untuk bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh pada masa akan datang. Ini kali pertama majlis sebegini diadakan dan kami masing-masing sangat gembira dengan usaha ditunjukkan pihak penganjur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN