fbpx

50 peratus pekerja berhenti awal

SYED HUSSAIN SYED HUSMAN

PETALING JAYA: Kira-kira 50 peratus pekerja terutama mereka yang dalam kategori pertama kali bekerja, memilih berhenti awal meskipun baru sahaja melaporkan diri.

Paling terkesan teruk adalah industri makanan dan minuman (F&B) dan beberapa sektor yang lain sekali gus dibimbangi menjejaskan prestasi pemulihan eko­nomi negara.

Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, tindakan yang diambil itu kebanyakannya berlaku dalam tempoh percubaan yang lazimnya mengambil masa antara tiga hingga enam bulan.

Katanya, ini kerana jika pekerja sudah disahkan dalam jawatan, maka notis berhenti menjadi lebih panjang sekitar satu bulan atau perlu membuat pembayaran sebulan gaji sebagai ganti kepada notis.

“Pekerja kebiasannya berhenti setelah mendapat tahu bahawa kerja yang dimohon tidak sesuai atau suasana di tempat kerja tidak memenuhi cita rasa pekerja.

“Dalam keadaan sedemikian, pekerja berhenti dengan segera dan kebiasaannya sebelum mereka disahkan dalam jawatan itu,” katanya kepada Utusan Malaysi, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Syed Hussain menyarankan majikan untuk melakukan pelaburan dalam strategi bagi terus mengekalkan pekerja terutama mereka yang berbakat besar.

Katanya, ini kerana tempoh percubaan juga dapat membolehkan majikan itu untuk memberi latihan yang sesuai kepada pekerja yang baharu melaporkan diri.

“Sebagai contoh pelaburan dalam strategi adalah dengan (membuat) terma dan syarat perkhidmatan yang menarik dan standing dengan majikan terbaik untuk mengekalkan bakat dan memberi peluang yang lebih tinggi untuk pekerja meningkatkan serta menambah kemahiran.

“Selain itu, orientasi yang diberikan kepada pekerja baharu hendaklah menonjolkan ciri-ciri baharu seperti sistem kerja fleksibel dan mempamerkan suasana kerja yang lebih kondusif sejajar dengan keperluan mengimbangi keperluan kerja dan kehidupan, malah syarikat juga perlu mengamalkan ciri pendekatan berteraskan elemen Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Syed Hussain bagaimanapun tidak menafikan ramai anak muda dan mereka yang pernah kehilangan pekerjaan akibat pandemik lebih memilih untuk bekerja dalam sektor ekonomi gig.

Katanya, ini kerana pekerja di sektor itu menikmati lebih kebebasan dalam menjalankan tugas mereka sekali gus membolehkan mereka mempunyai kawalan terhadap tahap pendapatan yang bakal diperoleh nanti.

“Tetapi didalam kerja konvensional, majikan akan membayar gaji pekerja berdasarkan produktiviti dan mungkin tidak dapat memenuhi keperluan untuk bekerja dengan lebih fleksibel.

“Jadi mereka yang pernah kehilangan pekerjaan enggan kembali kepada majikan terdahulu kerana khuatir episod sama berulang, selain faktor pendapatan yang lumayan dan fleksibiliti waktu bekerja,” jelasnya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!