PUTRAJAYA: Seramai 49,000 anggota perkhidmatan Kementerian Kesihatan sudah pun menyertai Kaji Selidik Penambahbaikan Budaya Kerja yang dilancarkan pada akhir bulan lalu.
Menurut Pengerusi Pasukan Petugas Kajian, Prof. Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir, usaha itu dilancarkan secara dalam talian pada 27 Mei lalu dan akan dilanjutkan sehingga Jumaat ini.
“Ia juga meliputi sesi libat urus dengan pihak berkaitan bagi mendapatkan input berhubung budaya kerja di setiap organisasi dalam Kementerian Kesihatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pasukan khas tersebut ditubuhkan secara rasmi pada 13 Mei lalu susulan pendedahan media yang tular mengenai budaya kerja tidak sihat diamalkan membabitkan kakitangan baharu.
Ini termasuk gejala buli ke atas ramai doktor muda yang mengakibatkan ada kalangan mereka dilaporkan tertekan teruk selain berhenti kerja lebih awal bahkan terdapat kes bunuh diri.
Mengulas lanjut, pasukan itu ujarnya, turut mengadakan sesi libat urus bersama lima badan bukan kerajaan bagi mendapatkan maklumat tepat input budaya kerja organisasi tersebut.
Mereka ialah Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia, Persatuan Jururawat Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Persatuan Hospital Swasta Malaysia dan Malaysian Medics International. – UTUSAN










