sindiket dalam talian

41,986 penipu ditahan dalam tempoh lima tahun

Keratan Utusan Malaysia 17 Jun 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 41,986 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018 sehingga Mei lalu kerana terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian melibatkan kerugian mangsa RM2.3 billion.

Daripada jumlah itu, sebanyak 24,249 pertuduhan telah diperolehi berkaitan kes-kes berkenaan.

Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, kesemua mereka diambil tindakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kata beliau, tindakan juga diambil mengikut Kanun Keseksaan selain tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 terhadap dalang utama sindiket-sindiket ini.

“Tindakan pembanterasan terhadap sindiket penipuan sentiasa dilaksanakan secara berterusan.

“Tidak kira sama ada sindiket tersebut berpusat di mana-mana negeri sekalipun, pengumpulan maklumat risikan dan serbuan sentiasa dilakukan bagi me­num­paskan kegiatan sindiket ini,” ka­tanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Utusan Malaysia semalam berkaitan kegiatan sindiket penipuan dalam talian dianggotai rakyat tempatan dikesan menjadikan kawasan sekitar Mount Austin di Johor Bahru sebagai ‘rumah perlindungan’ atau safe house bagi mereka mencari mangsa-mangsa untuk ditipu.

Dedah Utusan Malaysia, pengintipan dan risikan pasukan keselamatan mendapati sindiket tersebut sudah aktif lima tahun dan dipercayai sudah mengaut keuntungan hasil penipuan lebih RM4 bilion.

Anggota sindiket itu didapati merekrut dalam kalangan anak muda berumur 20 hingga 30 tahun untuk mencari mangsa-mang­sa dari serata dunia terma­suk Malaysia.

Antara modus operandi sin­diket seperti memperdayakan mangsa untuk melakukan pelaburan menerusi skim pelaburan bitcoin dan pelaburan berkaitan mata wang digital lain yang popular.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Kamarudin, melalui siasatan yang dijalankan, sindiket yang menjalankan operasi melalui calling centre terlibat dengan beberapa modus operandi peni­puan.

Jelas beliau, penipuan ber­kenaan iaitu Macau scam, African scam, pinjaman tidak wujud, pemberi pinjaman wang tanpa lesen, e-dagang dan penipuan pelaburan.

“Bagi kes pemberi pinjaman wang tanpa lesen, siasatan dikendalikan di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951,” jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya cabaran utama dalam mengekang kegiatan penipuan ini, Mohd. Kamarudin berkata ia adalah melibatkan isu perundangan.

Jelas beliau, sindiket-sindiket penipuan ini dikesan mempu­nyai rangkaian di beberapa negara dan kebiasaannya, calling center yang ditempatkan di sini akan menipu mangsa di negara luar dan begitulah sebaliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN