PETALING JAYA: Seramai 297 bakal jemaah haji penerbangan kumpulan kedua (KT02) selamat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tanah Suci pada pukul 1.30 petang, hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menerusi laman Facebooknya, hari ini.
“Jemaah haji KT02 dijangka tiba di Madinah pada pukul 4:20 petang, waktu Arab Saudi. Semoga segala urusan para jemaah haji Malaysia dipermudahkan Allah SWT,” katanya.
Terdahulu, jemaah haji KT02 merupakan sebahagian daripada 14,306 individu yang bakal menjadi tetamu Allah mengikut ketetapan kuota rasmi Malaysia bagi musim haji 1443H/2022M.
Dalam pada itu, seramai 295 orang jemaah haji yang merupakan kumpulan pertama, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz kira-kira pukul 9.30 malam tadi waktu Malaysia. – UTUSAN










