PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) membantu meringankan beban ditanggung seorang bekas atlet sukan badminton Sarawak yang menghidap penyakit Hodgkin Lymphoma.
Bekas atlet tersebut, Irsyad Iskandar Sukiman, 20, menerima sumbangan wang tunai YBR sebanyak RM5,000 bagi menampung kos rawatan penyakit yang dihidapinya itu.
Ketua Bahagian Operasi YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu Irsyad Iskandar selepas menerima permohonan bantuan daripada ibunya, Mastuyah Abdul Wahab pada 13 Mei lalu.
Katanya, atas keprihatinan dengan nasib pemuda itu yang menghidap penyakit Hodgkin Lymphoma tahap empat sejak September tahun lalu, diharapkan sumbangan tersebut dapat membantu kos rawatan penyakit dihidapinya.
Katanya, jumlah kos perubatan keseluruhan lelaki itu dianggarkan sebanyak RM150,000.
“Dengan pemberian bantuan ini diharapkan dapat mengurangkan bebanan yang kini ditanggung oleh keluarga Irsyad Iskandar serta dapat menampung perbelanjaan kos rawatan bagi menjalani Aggressive Chemotherapy selama tiga putaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau hadir dan menyampaikan sumbangan YBR itu di kediaman Irsyad Iskandar di Lorong Bunga Akasia 3, Kuching, Sarawak.
Walaupun keadaan diri Irsyad yang baru selesai menjalani kemoterapi, dia turut bersama kedua-dua ibu bapanya dalam pertemuan ini bagi menerima sumbangan YBR. – UTUSAN