TAIPING: Seorang wanita warga emas mengalami kerugian RM565,700 selepas diperdaya sindiket ‘love scam’ oleh seorang lelaki kononnya seorang doktor yang dikenalinya dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mangsa berusia 68 tahun yang bekerja sebagai penjaga stor kilang mengenali lelaki itu secara dalam talian sejak tahun lalu.
Menurutnya, mangsa berkenalan dengan lelaki itu di Facebook kononnya seorang doktor dan sedang bekerja di Iraq.
Katanya, lelaki tersebut merayu kepada mangsa memasukkan sejumlah wang kepada pihak United Nation agar suspek dapat keluar dari Iraq dan berjanji akan memberikan wang RM5 juta kepada mangsa apabila sampai di negara ini.

“Rayuan suspek telah menjerat mangsa hingga menyebabkan wanita itu melakukan sebanyak 69 transaksi ke dalam 13 buah akaun bank. Sepanjang perkenalan, mangsa telah membuat 12 transaksi melalui Maybank dan sekali melalui CIMB Bank.
“Semua transaksi dilakukan mangsa melalui mesin pengeluaran wang automatik Maybank cawangan Taiping bermula dari 4 Oktober 2021 hingga 21 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, mangsa tidak pernah bertemu dengan suspek sepanjang perkenalan mereka dan mangsa hanya berhubung dengan lelaki itu secara WhatsApp melalui dua nombor talian.
“Menyedari telah diperdaya, mangsa datang ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk membuat laporan. Polis akan menjalankan siasatan dan membuat permohonan kepada pihak bank bagi mendapatkan maklumat mengenai pemilik akaun yang terlibat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN











